Home"Pemain Kita Perlu Lebih Matang" - Nafuzi

“Pemain Kita Perlu Lebih Matang” – Nafuzi

Kegagalan meneruskan kemaraan di Kejohanan AFF B-23 (Piala Mandiri) nampaknya menyedarkan banyak perkara kepada jurulatih skuad Malaysia B-23, Nafuzi Zain.

Malaysia tersingkir selepas hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Indonesia B-23, pada perlawanan yang mereka wajib mencatat kemenangan besar untuk mara ke separuh akhir.

Ia menyaksikan skuad muda negara menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan ketiga di belakang Indonesia, dan Filipina dengan hanya satu kemenangan.

Menurut Nafuzi, aspek persiapan dan perancangan perlu diberi perhatian lebih serius, terutama apabila membabitkan pemain-pemain muda yang belum berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhan, banyak perkara yang saya sendiri nampak perlu ditambah baik, terutamanya dari segi persediaan pasukan,” ujarnya dipetik dalam laporan Arena Metro.

Tambah Nafuzi lagi, barisan pemain yang ada ketika ini rata-rata berusia antara 19 hingga 20 tahun dan masih berada dalam fasa pembentukan pasukan, justeru mereka memerlukan masa dan ruang untuk berkembang.

“Kita tahu kekuatan terletak pada semangat dan potensi pemain muda, tetapi pada masa sama mereka juga perlu lebih matang, terutamanya apabila berdepan tekanan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.”

Nafuzi turut menekankan keperluan untuk memperbaiki aspek kecergasan dan fizikal pemain bagi membolehkan mereka mampu bersaing secara agresif dengan pasukan-pasukan lain yang lebih berpengalaman dan lasak.

“Bermain di peringkat antarabangsa memerlukan fizikal yang betul-betul berada di tahap optimum. Kita tak boleh hanya harapkan bakat, tetapi juga perlu bina kekuatan mental dan fizikal mereka,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun optimis skuad muda negara berpotensi besar untuk melakar kejayaan tetapi ia perlu disertai dengan perancangan jangka panjang dan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak dalam ekosistem bola sepak tanah air.

Nafuzi juga berharap peminat dapat bersabar dan terus memberikan sokongan kepada skuad muda negara yang kini sedang melalui proses pembelajaran dan pembangunan.

“Ini bukan perjalanan yang mudah, tetapi kita sedang bina sesuatu yang besar untuk masa depan bola sepak negara,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!