Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberikan tabik kepada barisan pemain pasukan itu yang menunjukkan semangat luar biasa untuk meneruskan perjuangan di sebalik kemelut yang melanda.
KDAFC dihimpit masalah kewangan kritikal, sehingga mengakibatkan berlakunya tunggakan gaji selama 10 bulan yang membawa kepada ada beberapa pemain termasuk jurulatih angkat kaki di pertengahan jalan.
Namun, kepada yang masih bertahan, redha dan tetap berjuang membawa nama KDAFC, Tan Sri Daud menyifatkan mereka sebagai berjiwa besar.
Justeru, beliau akan sedaya upaya untuk membalas pengorbanan mereka, dengan berusaha tanpa henti mencari jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi.
“Ini bergantung kepada hubungan baik saya dengan pemain dan pegawai. Sebab tahun lepas pun, kita ada masalah sama dan masuk musim baharu, ada empat ke lima bulan (gaji) tertunggak dan saya selesaikan hutang itu.
“Mereka rasa kalau saya tak serius dalam bola sepak, saya takkan bayar hutang jadi mereka berikan kepercayaan dan beri sedikit masa untuk saya mencari peluang membayarnya.
“Dalam konteks bola sepak KDA FC ini, mereka tahu saya berseorangan jadi, nak cari siapa lagi? Saya satunya harapan yang mereka ada jadi kita sama-sama bertimbang rasa dan membuat pertimbangan.
“Mereka masih ke padang, mereka terus lupakan masalah dan bermain sebaik mungkin. Jadi tanggungjawab saya adalah untuk selesaikan masalah ini,” katanya.
Tan Sri Daud pada bulan Januari lalu, memberitahu KDAFC hanya bergantung kepada sumbangan seorang pemilik saham untuk terus beroperasi namun berjanji dalam apa jua situasi tidak akan lari daripada tanggungjawab dan terus komited menyelamatkan kelab itu daripada berkubur.
“Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025.
“Saya komited dan akan menggunakan segala kemampuan serta sumber yang ada sebagai pemegang saham majoriti untuk memastikan kelab ini terus bertahan walaupun dalam serba kekurangan.
“Kemungkinan pemegang-pemegang saham lain tidak mampu untuk menyumbang untuk kelab. Saya tiada pilihan melainkan cuba mendapatkan dana sebanyak mungkin tetapi sudah pasti ianya tidak mencukupi.
Baca Juga: KDAFC Bergantung Kepada Sumbangan Seorang Pemilik Saham
“Secara jujurnya, KDA FC hanya bergantung kepada sumbangan seorang pemilik saham yang sentiasa bekerja keras mencari sedikit rezeki untuk dikongsi secara bersama hanya bagi tujuan perbelanjaan asas mingguan/bulanan.
“KDAFC juga mendapat sumbangan beberapa individu penaja dan juga penjualan hasil tiket dan merchandise yang tidak seberapa banyak pun. Tiada penaja utama. Tiada bantuan dari mana-mana pihak.
“Kami juga tidak mendapat pembeli/pemiik baru yang sesuai walaupun ramai yang menyatakan hasrat untuk memiliki KDA FC,” ujarnya.