HomeSukanPergaduhan Aksi Piala Presiden Dibawa Ke JK Tatatertib

Pergaduhan Aksi Piala Presiden Dibawa Ke JK Tatatertib

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan memandang sebelah mata isu pergaduhan yang berlaku ketika aksi Piala Presiden antara PDRM FC dan Penang FC II baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata laporan rasmi dan maklumat terperinci insiden yang berlaku selepas wisel penamat dibunyikan, akan dinilai dan dihantar ke Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan seterusnya.

Terdahulu, perlawanan minggu ke-13 Piala Presiden di Padang Pulapol pada 30 Julai lepas, menyaksikan terjadinya insiden memalukan apabila penyokong menceroboh padang dan menyerang pemain pasukan pelawat.

Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan besar terhadap tahap keselamatan perlawanan apatah lagi perlawanan berlangsung di tempat yang boleh dianggap paling selamat, Padang Pulapol.

Rakaman insiden yg viral di media sosial memperlihatkan suasana tegang sebaik wisel penamat ditiup, apabila sekumpulan penyokong tuan rumah bertindak agresif dengan berlaku tumbuk menumbuk, kerusi melayang, serta saling memaki hamun.

Insiden ini jelas memberi isyarat bahawa kawalan keselamatan dalam perlawanan bola sepak, termasuk di peringkat pembangunan, tidak boleh dipandang ringan. Selain mencemarkan imej pertandingan, ia juga mendedahkan para pemain muda kepada bahaya fizikal dan trauma psikologi.

Peminat bola sepak tempatan kini menanti ketegasan daripada FAM serta pihak berkaitan dalam memastikan kejadian seperti ini tidak berulang — demi maruah sukan dan keselamatan semua pihak yang terlibat.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!