HomeSukanPiala ASEAN: "Kami Pasti Juara Jika Bawa Skuad Senior"

Piala ASEAN: “Kami Pasti Juara Jika Bawa Skuad Senior”

Hasrat Indonesia untuk bergelar juara Piala ASEAN buat pertama kali tidak kesampaian setelah perjuangan mereka berakhir secara mengejut di peringkat kumpulan.

Skuad kendalian Shin Tae Yong yang dianggap antara pasukan pilihan dalam edisi kali ini, gagal ke separuh akhir setelah tewas 0-1 di tangan Filipina. Ia kekalahan kedua sang garuda setelah terdahulu tewas kepada Vietnam.

Mereka juga mengakhiri pertandingan dengan hanya satu kemenangan, iaitu 1-0 ke atas Myanmar pada perlawanan pertama. Sekaligus penampilan mereka dianggap sebagai satu kegagalan dan memberikan tamparan cukup besar, tetapi Shin Tae yong berpendapat sebaliknya.

“Kamu boleh menganggap kami gagal kerana tidak berjaya ke pusingan seterusnya, namun saya menegaskan sebaliknya.

“Dalam kejohanan kali ini, kami menurunkan pemain muda. Jika saya menggunakan kekuatan penuh pemain senior, saya yakin kami akan memenangi pertandingan ini.

“Bagaimanapun, pemain yang beraksi bersama Sang Garuda kali ini telah menampilkan persembahan terbaik dan menerima pengalaman yang banyak.

“Persediaan ini sedikit sebanyak menjadi persiapan buat mereka menghadapi Sukan SEA dan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Umum PSSI, Erick Thohir, jelas kecewa dengan pencapaian tersebut yang tidak bersesuaian dengan harapannya meskipun menurunkan pemain muda. Beliau juga bersedia menilai semula kedudukan Shin Tae Yong.

“Saya mahu mereka menang mudah lawan Myanmar, Laos dan Filipina. Tidak mengapa jika tewas kepada Vietnam kerana mereka menurunkan pemain senior.

“Sekiranya layak ke separuh akhir lalu tewas, itu tidak mengapa. Kerana saya yakin pemain sudah memberikan yang terbaik,” ujarnya kepada media tempatan Indonesia.

“Seharusnya Shin Tae-yong harus membawa pasukan ini lolos ke separuh akhir. Kami akan melakukan penilaian terhadapnya berdasarkan prestasi terkini skuad kebangsaan,” menurut Erick.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!