Tindakan skuad Harimau Malaya menarik diri daripada Piala CAFA, mengecewakan ramai, tidak terkecuali bekas pemain kebangsaan Dato’ Jamal Nasir Ismail.
Jika sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selalu memberi alasan tiada pasukan elit Asia mahu menentang Harimau Malaya disebabkan standard bolasepak yang rendah, kini peluang terbentang luas dan kita memilih untuk menarik diri?
Lebih mengejutkan, setelah menolak peluang menguji pasukan di ranking tinggi seperti Tajikistan, Afghanistan dan Iran yang telah layak ke Piala Dunia 2026 – kita mungkin akan disajikan dengan aksi menentang jiran seberang tambak, Singapura.
Begitulah khabar yang bertebaran, Singapura sebagai pengganti di kalendar antarabangsa bulan September. Dan ini, membuatkan Jamal Nasir tergamam.
“Mereka tidak mahu sertai kejohanan yang ada disertai antara top team Asia sebaliknya memilih Singapura. Apa strateginya? Mesti ada sesuatu di sebalik keputusan ini.
“Adakah ini disebabkan kekangan kewangan? Bila pergi sana (CAFA), banyak kos perlu ditanggung seperti penerbangan, tetapi kalau ke sini (Singapura), taklah semahal itu. FAM sepatutnya buat sidang media untuk jelaskan perkara ini dan bukan hanya berdiam diri,” ujar Jamal Nasir kepada NST Sports.
Jamal juga sukar menerima alasan-alasan yang diberi berhubung penarikan diri Malaysia — logistik perjalanan, keletihan akibat transit dan ketiadaan pemain berpangkalan di luar negara.
“Itu bukan alasan yang kukuh. Kalau ada transit pun, pergilah lebih awal dan boleh pulih semula. Tak boleh diterima.
“Bila cakap tentang pemain luar negara tak dapat hadir, adakah mereka fikir hanya pemain seperti Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado sahaja yang bagus dan pemain lain tak bagus? Saya rasa penyokong pun akan fikir perkara yang sama,” kata Jamal.