HomeSukanPiala FA: "UMD Main Bertahan Menyukarkan Kami" - Xisco Munoz

Piala FA: “UMD Main Bertahan Menyukarkan Kami” – Xisco Munoz

Pengendali JDT, Xisco Munoz menuntut permainan lebih agresif dan garang daripada pemainnya di sebalik mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas UM-Damansara (UMD) FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu.

Berdepan pasukan yang sangat jauh berbeza kualiti, JDT terpaksa menunggu sehingga UMD kehilangan seorang pemain kerana kad merah sebelum berjaya membuka jaringan pada minit akhir separuh masa pertama.

Ia jelas tidak menggembirakan Munoz meskipun dia turut mengakui strategi UM-Damansara yang bermain bertahan antara punca kesukaran dihadapi pemainnya untuk menjaringkan gol.

“Selepas kami menjaringkan gol pertama di hujung babak pertama, kami mula mendapat rentak dan bermain dengan lebih yakin dan bertenaga. Bukan mudah untuk mendapat gol pertama itu kerana UMD bermain bertahan, mereka begitu kompak di pertahanan.

“Apabila permainan sudah kembali terbuka, kami mula meningkatkan tekanan dan mencipta lebih banyak peluang, bermain dengan lebih tersusun di separuh masa kedua.

“Perkara paling penting kita mesti beraksi lebih baik di laman sendiri. Pemain masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rentak di sini, terutama bagi pemain baharu. Langkah demi langkah kita perlu mencari keseimbangan yang tepat. Malam ini, kita mencipta banyak peluang termasuk sepakan penalti tetapi dalam serangan mesti gunakan keupayaan kita dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, UMD yang beraksi di Liga A1 Semi-pro berjaya menghalang barisan serangan JDT daripada mengganas namun segalanya berubah apabila kapten mereka Hariz Mansor diperintah keluar padang setelah menerima layangan kad kuning kedua pada minit ke-38.

Ia dimanfaatkan skuad Harimau Selatan untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-44 menerusi Jonathan Silva, sebelum menambah empat lagi jaringan di babak kedua menerusi Silva, Teto Martin, Joao Figueireido dan Cesar Bermejo.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi timbal balik pada 13 September.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!