HomeSukanPiala Malaysia: Sri Pahang Ada Ramuan Mujarab Tewaskan JDT

Piala Malaysia: Sri Pahang Ada Ramuan Mujarab Tewaskan JDT

Meskipun akan turun sebagai pasukan underdog dalam aksi final Piala Malaysia menentang JDT, itu tidak bermakna cabaran Sri Pahang boleh dipandang enteng.

Pasukan itu diyakini tetap mempunyai ramuan untuk mengetepikan segala ramalan awal yang seratus peratus memihak kepada JDT dan bergelar juara pada Sabtu ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang walaupun mengakui ia memerlukan Sri Pahang untuk berada di kemuncak prestasi memandangkan JDT bukan calang-calang pasukan dan berada dalam kelas yang tersendiri.

Malah cakap-cakap sebelum perlawanan oleh kebanyakan pemerhati yang mengatakan ‘pemenang sudahpun diketahui, buat apa bazir masa dan duit tengok final’ ditepis oleh Suffian.

“Untuk mengatakan kita langsung tiada peluang adalah tidak betul, dalam bolasepak tiada siapa boleh ramal apa akan berlaku. Awal musim tiada siapa meramal kita akan ke final, tetapi kita mara dengan menyingkirkan dua pasukan pilihan Selangor dan Sabah.

“Dalam perlawanan besar seperti ini, keajaiban dan kejutan boleh berlaku. Jadi tiada yang mustahil walaupun kita akui JDT adalah pasukan berkelas Asia dan ada kelebihan besar. Kita menghormati kekuatan mereka.

“Walaupun kita akan bermain tanpa Kpah Sherman dan Hidalgo, tetapi saya yakin Coach Fandi (Ahmad) tahu apa perlu dilakukan dan mempunyai ramuan untuk memastikan kita dapat menyaingi JDT dan bawa pulang piala ke bumi Pahang.

“Mungkin final ini akan memberi peluang kepada pemain seperti Mykola Ahapov, Saravanan atau Sean Selvaraj untuk buktikan sesuatu.

“Apa yang penting adalah sokongan padu daripada penyokong kita, agar dapat memberi pemain motivasi dan membakar lagi semangat mereka. Pemain-pemain perlu fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah, jangan bolos gol awal yang akan membuatkan kita bermain dalam tekanan,” ujar Suffian.

Baca Juga: “Pahang Tak Perlu Main Cantik, Parking Bas Dua Butir Pun Takpe”

Untuk rekod, ketika kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2014, Sri Pahang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 dalam masa sebenar menerusi Dickson Nwakaeme dan seterusnya menewaskan JDT menerusi penentuan penalti.

Dalam pada itu, pemerhati bolasepak, Fauzi Pilus menerusi laporan BH Sukan berkata Sri Pahang mempunyai peluang dalam 20 peratus untuk menafikan kejuaraan buat JDT.

“Jika SPFC dapat menyerap kekuatan JDT dan dapat mengekang mereka daripada menjaringkan gol awal, mungkin SPFC ada peluang untuk terus berada dalam permainan.

“Jika mereka melepaskan gol awal, maka ada peluang untuk JDT terus mendapatkan gol kedua, gol ketiga dan seterusnya. Sekurang-kurangnya, SPFC perlu memastikan mereka tidak bolos sepanjang separuh masa pertama sambil mengharapkan mereka ada peluang menerusi serangan balas pantas.

“Kalau JDT berjaya mendapatkan gol mudah pada babak pertama, kita boleh anggap seolah-olah sudah ‘game over’. Kalau dapat menyekat JDT dan mengkucar-kacirkan JDT dengan gerakan menyerang secara mengejut, peluang SPFC untuk mencabar kejuaraan boleh jadi kenyataan.

“Setidak-tidaknya SPFC boleh heret perlawanan ke masa tambahan ataupu sepakan penalti. Mungkin SPFC boleh mengintai peluang menerusi ruang kosong yang ditinggalkan JDT ketika sentiasa menyerang tetapi ini perlukan penyudah yang amat klinikal dan berkesan.

“SPFC juga perlu memastikan mental dan emosi mereka berada pada tahap yang tertinggi, bukan sahaja tahap fizikal. Ini kerana perlawanan final seperti ini sudah pasti tegang dan mampu mengacau psikologi setiap pemain dan ini memainkan peranan yang besar,” kata Fauzi.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!