Keputusan tidak meyakinkan dan memberangsangkan pada beberapa perlawanan pra-musim yang diharungi, bukan gambaran sebenar kekuatan Selangor. Demikian tegas CEO pasukan, Dr Johan Kamal Hamidon.
Justeru itu, tiada sebab untuk kem Red Giants berasa cemas dan mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada Katsuhito Kinoshi untuk memacu pasukan mencapai sasaran dan KPI yang ditetapkan.
“Setakat ini, bila kita bercakap mengenai penilaian dari sudut teknikal, jawatankuasa masih yakin dan percaya kepada keupayaan jurulatih. Jika kita lihat semasa pramusim, ramai pemain tidak bersama pasukan. Beberapa pemain import tidak dapat sertai, dan beberapa pemain muda pula terlibat dengan skuad bawah 23 tahun.
“Malah semasa aksi menentang Asia Warriors pun, dua pemain tengah utama Nooa Laine dan Noor Al Rawabdeh tidak dapat diturunkan akibat demam.
“Jadi keputusan perlawanan itu berdasarkan apa yang dirumuskan oleh jawatankuasa teknikal menyatakan bukan gambaran penuh kekuatan pasukan. Apatah lagi setakat ini juga, kesebelasan utama pun belum dimuktamadkan sepenuhnya,” jelas Johan.
Untuk musim baru 2025/26, Selangor merekrut beberapa pemain baru termasuklah Kevin Deeromram, Picha Autra, Zach Clough, William Lira dan Omid Mosawi.
Pasukan itu yang menamatkan musim lalu sebagai naib juara Liga Super dan Piala FA, akan membuka tirai saingan musim baru dengan menentang JDT pada 8 Ogos ini dalam perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Hj Ahmad Shah.
Baca Juga : Selangor Ada Peluang Kejutkan JDT di SSI
Mereka tidak pernah menewaskan JDT dalam 19 pertemuan lalu dan menarik untuk disaksikan jika mereka berjaya untuk melakukannya kali ini.