Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) telah menghantar surat rasmi kepada FIFA dan AFC, meminta ketelusan mereka berhubung proses pemilihan negara tuan rumah bagi pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.
Perkara sama turut dilakukan Persatuan Bolasepak Iraq (IFA) yang menyatakan mereka bersedia dan berupaya menganjurkan acara antarabangsa, sambil mengharapkan tidak berlaku sikap pilih kasih oleh dua badan induk itu.
Untuk makluman, dua negara akan dipilih sebagai tuan rumah untuk pusingan keempat Piala Dunia 2026, melibatkan enam pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat dalam Kumpulan A, B dan C di pusingan kelayakan ketiga.
Enam pasukan tersebut adalah UAE, Qatar, Iraq, Oman, Arab Saudi dan Indonesia, di mana masing-masing akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Walaupun FIFA dan AFC belum mengumumkan tuan rumah, khabar angin bertiup kencang bahawa Arab Saudi dan Qatar mungkin dipilih.
Walaupun negara-negara Asia Barat dipuji kerana infrastruktur yang kukuh, sumber kewangan dan keupayaan organisasi, kebimbangan mengenai potensi pilih kasih atau berat sebelah serantau telah dibangkitkan.
Ini mengambil kira kecenderungan FIFA dan AFC memilih negara-negara Asia Barat untuk menganjurkan kejohanan bola sepak utama, kebelakangan ini.
Qatar telah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, Piala Asia 2023 dan Piala Asia B-23 2024. Arab Saudi bersedia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, Piala Asia B-23 2026 dan Piala Asia 2027. UAE pula telah menjadi tuan rumah Piala Asia 2019.
Selepas tamat kesemua aksi kelayakan pusingan ketiga pada 10 Jun, enam pasukan dari Asia telah mengesahkan tempat di Piala Dunia iaitu Iran, Uzbekistan, Korea Selatan, Jordan, Jepun dan Australia.
Pusingan kelayakan keempat akan diadakan pada bulan Oktober, dengan hari perlawanan dijadualkan pada 8, 11 dan 14 Okt. Cabutan rasmi ditetapkan pada 17 Julai, tetapi kriteria pengehosan masih belum dikeluarkan.
Enam pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dalam format round-robin. Kedua-dua pemenang kumpulan akan layak ke Piala Dunia. Kedua-dua naib juara akan beraksi dalam play-off dua pusingan pada 13 dan 18 November.
Pemenang perlawanan play-off kemudiannya akan mara ke play-off antara benua, di mana mereka akan bersaing dengan wakil dari Amerika Utara dan Tengah, Amerika Selatan, Afrika dan Oceania untuk satu daripada dua slot terakhir Piala Dunia.