HomeSukan Nafuzi Zain Dilantik Kemudi Skuad B-23 Kebangsaan

[Rasmi] Nafuzi Zain Dilantik Kemudi Skuad B-23 Kebangsaan

Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik sebagai ketua jurulatih baru skuad B-23 kebangsaan.

Beliau menjadi pilihan bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

FAM dalam satu kenyataan memaklumkan kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.

Baca juga: Wan Rohaimi, Antara Jurulatih Terbaik Dilahirkan NFDP

Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.

Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian telah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.

Nafuzi kemudian mengembangkan kariernya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.

Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi berhijrah untuk menjadi ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC pada 2023 dan 2024.

Dengan kehadiran Nafuzi ini, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 kebangsaan pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!