HomeRencanaRazlan Joffri : Kenali Pengadil Terbaik Liga Malaysia Kelahiran Terengganu

Razlan Joffri : Kenali Pengadil Terbaik Liga Malaysia Kelahiran Terengganu

Razlan Joffri Ali, disifatkan antara pengadil terbaik Liga Malaysia.

Beliau sudah sedekad terlibat dalam dunia pengadilan bolasepak, tetapi mungkin tidak ramai yang tahu dia sebenarnya merupakan bekas pemain bolasepak.

Pasukan-pasukan yang pernah diwakilinya termasuklah Selangor, MBPJ, Public Bank dan skuad B-23 kebangsaan.

Razlan Joffri bersara pada usia muda, pada usia 27 tahun sebelum terjun ke dunia pengadilan.

Mari mengenali lebih dekat individu ini.

Latar Belakang Ringkas Razlan Joffri

Nama : Razlan Joffri Ali
Tarikh lahir : 6 Januari 1985
Asal : Setiu, Terengganu
Anak ketiga dari 7 adik-beradik

Dalam satu temuramah disiarkan di selangorfc.com, Razlan Joffri memberitahu:

“Saya bersekolah di Terengganu hingga darjah 6, pernah mewakili Terengganu di peringkat MSSM, kemudiannya sambung persekolahan di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada tahun 1998.

“Sebelum dapat tawaran ke SSBJ, saya terima tawaran dari Akademi Terengganu dan menyertai mereka selama dua minggu sebelum menyertai SSBJ.

Karier Sebagai Pemain Bolasepak

Selepas tamat dengan SSBJ pada tahun 2002, Razlan Joffri terpilih menganggotai skuad Piala Belia Selangor.

Ketika itu juga, beliau sambung belajar di Matrikulasi antara Bukit Jalil dengan UPM, kemudiannya sambung ijazah di UPM.

Setahun bersama dengan Selangor, Razlan Joffri berkelana ke Public Bank, kemudian MBPJ dan berhijrah semula ke skuad Liga Super Selangor pada tahun 2007 seangkatan dengan Shukor Adan, Akmal Rizal dan Safee Sali.

Sebelum menyertai semula Selangor, Razlan turut menganggotai skuad B-23 kebangsaan kendalian B.Sathianatan.

Ringkasan karier bolasepak Razlan Joffri

2002 : Piala Belia Selangor
2003 – 2005 : Public Bank Selangor
2006 : MBBJ Selangor
2007 : Skuad B-23 Kebangsaan, Skuad Liga Super Selangor
2008 : PKNS FC
2009 : Proton FC
2010 – 2012 : Sime Darby FC

Beliau mengambil keputusan untuk gantung boot pada usia muda kerana menerima tawaran bekerja dengan Sime Darby.

“Bila ditawarkan itu, Sime Darby tidak benarkan bermain dan bekerja. Kalau main boleh profesional, kalau hendak bekerja saya kena berhenti daripada bola sepak.

“Bagi saya, masa itu sudah dapat ijazah di UPM, jadi hati saya banyak berbisik untuk lebih settle down. Saya beritahu diri saya, why not I try.

“Saya sertai Sime Darby sebagai Eksekutif di Sime Darby Industry di Puchong, dengan gaji permulaan, biasalah, sama seperti apa yang dilalui oleh ramai orang.

“Jadi itulah perkara sebenar. Saya tiada kecederaan, tawaran pun masih ada pada tahun 2013 tetapi saya pilih untuk settle down, itu sahaja.

Bagaimana Razlan Joffri Terlibat Sebagai Pengadil

Penglibatan Razlan Joffri dalam pengadilan, bermula dengan niat hanya mahu menambah ilmu, atas pelawaan kawan baiknya untuk menyertai satu seminar pengadilan FAS yang dianjurkan di pejabat Sime Darby pada 2012.

“Saya bayar RM80 untuk masuk kelas seminggu pada waktu malam daripada pukul 8 sampai pukul 10 tiap-tiap hari seminggu.

“Sebenarnya saya cakap jujur, saya hanya mahu tambah knowledge pada awalnya, rasanya tak berminat pun nak buat betul-betul pengadilan.

“Saya ambil ujian bertulis law of the game, lepas di peringkat Selangor. Setahun kemudian mereka bagi saya perlawanan peringkat Negeri Selangor. Saya kata tak mahu sebab saya tiada kelengkapan seperti wisel, kad dan sebagainya.

“Saya tak beli pun sebab bukan jiwa saya jadi pengadil pada masa itu,” ujarnya lagi.

Dalam kedegilan itu, Razlan berkata beliau menerima cabaran Cikgu Sabri Mat Daud, untuk mencuba selama setahun di peringkat Selangor, sebelum lulus pula ujian peringkat kebangsaan.

Malah, beliau mendapat pujian seawal mengendalikan perlawanan pertama sebagai pengadil utama di Tampin, Negeri Sembilan.

“Selepas itu daripada Belia, terus saya buat Piala Presiden. Tahun yang sama saya terus ke FAM Cup adili empat perlawanan yang saya ingat.

“Tahun seterusnya, selepas FAM, saya terus dapat ke Liga Perdana. Kalau ikut sebetulnya perjalanan saya di Pengadil Kebangsaan ini, 4 tahun sahaja sebelum jadi FIFA Official, iaitu tahun 2018.”

Razlan secara rasminya bergelar pengadil FIFA pada 2019.

Kontroversi dan Direhatkan FAM

Walaupun berstatus pengadil terbaik, Razlan Joffri tidak lari daripada menerima kecaman atau kritikan atas keputusan-keputusan yang meragukan mahupun tidak tepat.

Terbaru adalah ketika perlawanan Liga Super antara Perak dan JDT pada 10 November lalu di Stadium Sultan Ibrahim.

Kualiti pengadilannya dipertikai susulan keputusan meragukan termasuklah tidak memberikan penalti kepada Perak walaupun setelah merujuk VAR. Tetapi kemudiannya mudah memberikan penalti kepada JDT.

Paling mencuri tumpuan adalah kegagalan membuat keputusan tepat dalam insiden pergaduhan Arif Aiman dan Tommy Mawat, apabila beliau sekadar melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain.

Ia turut ditegur Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berpendapat kedua-dua pemain sepatutnya dilayangkan kad merah.

FAM yang membuat penilaian ke atas insiden tersebut mendapati Razlan Joffri serta dua pembantu VAR cuai dalam menjalankan tugas, dan merehatkan mereka untuk dua perlawanan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!