Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Beliau sekaligus akan menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
Rob Friend merupakan bekas pemain di posisi penyerang, antara kelab pernah diwakilinya ialah kelab Norway, Moss FC dan Molde FK; kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.
Berita Berkaitan: TMJ Sudah Kenalpasti CEO Harimau Malaya
Bersama pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau telah melakukan sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun.
Latar Belakang Mantap Rob Friend
Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Canada, Rob Friend hadir dengan portfolio hebat menerusi penglibatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.
Kemudian dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta.
Bermula 2019 hingga sekarang, Rob Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.
Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Rob Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
Beliau banyak terlibat dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab, termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, termasuk pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.
Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diyakini mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.
Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.