Ketua Pegawai Eksekutif pasukan kebangsaan, Rob Friend menegaskan beliau mahupun team revolusi tiada sebarang kaitan dengan urusan dokumentasi tujuh pemain warisan.
Selain menyatakan tidak tahu apa-apa berhubung urusan itu, beliau juga tidak dapat menjawab siapa sebenarnya yang terbabit sebaliknya menyebut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pihak yang bertanggungjawab.
“Penting untuk saya jelaskan bahawa team pasukan kebangsaan tidak terlibat langsung dalam urusan dokumen. Kami hanya fokus kepada strategi, prestasi dan taktikal pasukan.
“Saya dan pengendali pasukan, Peter Cklamovski, hanya menilai pemain dari sudut teknikal. Kami tidak menguruskan sebarang dokumen, pendaftaran mahupun kelulusan rasmi. Itu sepenuhnya bidang FAM bersama agensi kerajaan yang berkaitan.
“Apabila FIFA meluluskan status seseorang pemain, kami akan menerima dokumen rasmi dan pengesahan daripada FAM, dan pada ketika itu barulah pemain berkenaan disahkan menyertai skuad kebangsaan,” katanya dalam sidang media di wisma FAM, pada Jumaat.
Kenyataan Rob Friend itu sebagai reaksi kepada pertanyaan siapa yang bertanggungjawab atas dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan oleh FIFA, serta kesilapan teknikal ketika memuatnaik dokumen sepertimana dimaklumkan FAM sebelum ini.
FIFA telah menggantung tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Facundo Garces, Joao Figueireido dan Imanol Machuca atas kesangsian terhadap latar belakang mereka.
FAM mendapatkan mereka kerakyatan dan status pemain warisan dengan menyatakan semua pemain itu berdarah Malaysia tetapi siasatan FIFA mendapati maklumat itu tidak benar sekaligus mendakwa berlaku pemalsuan identiti.
Justeru, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Rob Friend turut mengesahkan siasatan FIFA telahpun bermula 22 Ogos lalu, dan beliau telah mengambil langkah wajar untuk melindungi pemain-pemain terlibat.
“Saya terus ambil langkah melindungi pemain dan menjaga integriti pasukan kebangsaan. Mereka sudah berjuang untuk Malaysia, dan menjadi tanggungjawab kami memastikan mereka tidak menjadi mangsa,” katanya.
Rob Friend bagaimanapun tidak dapat memberikan jawapan kepada isu-isu dan kontroversi yang berbangkit itu.