HomeSukanRosman Angkat Martabat Jurulatih Tempatan

Rosman Angkat Martabat Jurulatih Tempatan

Ketika Pearly Tan-M. Thinaah mencuri tumpuan dengan pencapaian bersejarah mereka di Kejohanan Dunia di Paris, pujian juga harus diberikan kepada individu di sebalik kebangkitan mereka – jurulatih Rosman Razak.

Rosman telah membuktikan bahawa jurulatih tempatan juga mampu membimbing pemain sehingga ke tahap tertinggi. Beliau membentuk Pearly-Thinaah menjadi antara gandingan paling digeruni dalam acara beregu wanita, dan tetap setia bersama mereka walaupun berdepan kesukaran dalam beberapa kejohanan lalu.

Kali ini, perancangan taktikal yang dirangka oleh Rosman bersama pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, akhirnya membuahkan hasil lumayan.

Pearly-Thinaah bukan sahaja mencipta sejarah sebagai gandingan wanita Malaysia pertama meraih pingat di Kejohanan Dunia, malah turut menjadi yang pertama mara ke final dalam tempoh hampir lima dekad.

Ia adalah pencapaian yang tidak pernah dilakukan mana-mana gandingan wanita Malaysia sebelum ini.

Bekas beregu wanita nombor satu dunia, Wong Pei Tty, menyifatkan kejayaan Pearly-Thinaah sebagai satu babak baharu dalam arena badminton negara.

Sebelum ini, harapan Malaysia untuk meraih pingat di Kejohanan Dunia banyak bergantung kepada acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki.

Namun keadaan kini berubah, dengan kejayaan Pearly-Thinaah serta kebangkitan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menunjukkan bahawa acara lain juga berpotensi untuk menyerlah di pentas tertinggi.

“Ini membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya menggilap potensi pemain kita. Ia sangat penting kerana akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain wanita dan remaja di Malaysia untuk menceburi badminton.

“Melihat pemain kita berjuang hingga ke final membuktikan bahawa dengan kerja keras dan keyakinan, apa sahaja boleh dicapai,” kata Pei Tty dipetik dari The Star.

Beliau turut berharap kejayaan Pearly-Thinaah di Paris akan menyemarakkan minat lebih ramai wanita untuk mengambil bahagian dalam sukan ini, sambil menekankan bahawa Malaysia masih kekurangan dari segi kedalaman bakat dalam kategori wanita.

“Saya juga berharap Malaysia akan terus memberi fokus kepada pembangunan dan pembentukan pasukan remaja yang mantap, kerana itulah kunci untuk melahirkan juara dunia masa depan,” tambah Pei Tty.

Untuk rekod, Pearly-Thinaah mula digandingkan oleh Rosman pada tahun 2019 selepas Thinaah mencari haluan baharu berikutan kejayaan terhad dalam acara perseorangan wanita.

Rosman kemudian meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2020, tetapi kembali pada November tahun lalu untuk mengambil alih skuad beregu wanita kebangsaan.

Sebagai makluman, hanya beregu wanita dilatih oleh jurulatih tempatan, tatkala pemain perseorangan dikemudi Kenneth Jonassen, beregu lelaki dilatih Herry Iman Pierngandi manakala beregu campuran pula oleh Nova Widianto.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!