HomeSukanSaka Bukan Lagi Pilihan Utama, 'Pass Baton' Kepada Gyokeres

Saka Bukan Lagi Pilihan Utama, ‘Pass Baton’ Kepada Gyokeres

Bintang baharu Arsenal, Viktor Gyokeres bukan sahaja akan mengalas tugas besar sebagai penggempur utama pasukan itu, tetapi dia juga bakal mengambil alih peranan sebagai pengambil sepakan penalti utama The Gunners.

Ia keluar dari mulut pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang menyatakan rekod sempurna Gyokeres yang berjaya menyempurnakan kesemua 19 sepakan penalti bersama Sporting Lisbon musim lalu, menjadikannya calon ideal untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Ketika ini, Bukayo Saka dan Martin Odegaard merupakan pilihan utama untuk mengambil sepakan penalti, namun kedua-duanya tidak mempunyai rekod sempurna dan pernah gagal menyudahkan sepakan penalti dalam beberapa perlawanan penting.

Paling diingati pastinya kegagalan Bukayo Saka di suku akhir Liga Juara Eropah menentang Real Madrid, manakala Odegaard pula ketika Arsenal disingkirkan Manchester United dari saingan Piala FA.

“Seperti yang anda tahu, Viktor sangat konsisten dan telah menjaringkan banyak gol. Tapi kami juga mempunyai beberapa pengambil penalti lain yang bagus.

“Mereka akan tentukan sendiri siapa yang akan ambil dan jika tidak, saya akan campur tangan pada waktu yang sesuai,” kata Arteta selepas kemenangan 3-2 Arsenal ke atas Newcastle United dalam aksi pramusim di Singapura pada Ahad.

Untuk makluman, Gyokeres akhirnya menjadi milik Arsenal setelah saga perpindahan panjang dengan media British melaporkan kelab London itu telah bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak 55 juta pound (RM425 juta) dengan tambahan 8 juta pound (RM61.8 juta) sebagai insentif kepada Sporting, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 63 juta pound (RM487 juta).

Penyerang Sweden berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang selama lima tahun sehingga 2029.

Musim lalu, Gyokeres membantu Sporting menjuarai Liga Portugal dan Piala Portugal, termasuk menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan di semua kejohanan, antaranya satu hatrik menentang Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!