Bekas Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais, menyatakan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden pada kongres pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung pada 15 Februari depan.
Melalui laporan BH Sukan, Posa memaklumkan tidak seperti beberapa calon lain, beliau akan berada dalam mana-mana kem pada pemilihan terbabit. Sebaliknya akan tampil sebagai ‘calon bebas’ sekiranya mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.
Ujarnya, langkah berani itu diambil bagi meneruskan hasratnya mahu menabur bakti terhadap kemajuan bolasepak negara seiring dengan pengurusan baharu Harimau Malaya.
“Walaupun nama saya tiada dalam dua kem yang dikatakan akan bertanding, namun saya tetap mahu tampil untuk merebut jawatan Timbalan Presiden FAM.
“Saya tiada masalah dengan mereka, cuma mahu tampil merebut jawatan itu kerana berasa saya masih boleh menabur khidmat untuk bola sepak negara.
“Terpulang kepada ahli gabungan memilih siapa yang layak untuk berada dalam pengurusan tertinggi FAM. Perkara penting adalah berkhidmat demi negara,” katanya yang ketika ini merupakan Naib Presiden FAM.
Baca juga : Dollah Salleh Dijangka Bertanding di Kongres FAM
Walaupun FAM belum mengeluarkan senarai rasmi calon yang akan bertanding, namun berdasarkan laporan media tempatan, jawatan Timbalan Presiden akan turut disaingi oleh dua penyandang yang enggan melepaskan jawatan walaupun tidak pernah menyumbang kepada kemajuan bolasepak iaitu Datuk Yusoff Mahadi dan Datuk S.Sivasundram.
Selain itu, Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar turut dikatakan akan bertanding merebut jawatan itu.