Pemain sayap Selangor, Faisal Halim tidak berputus asa untuk mengembalikan semula prestasi dirinya ke tahap yang sama seperti sebelum tragedi simbahan asid menimpanya.
Bintang skuad kebangsaan ini terpaksa berehat panjang selepas insiden pada bulan Mei, dan hanya kembali bermain pada Ogos lalu. Namun sehingga kini belum mampu untuk mencapai tahap permainan yang pernah mempesona dan memukau jutaan penyokong.
Mengakui apa yang berlaku adalah suratan takdir, dia menyatakan setiap hari yang baru memberi peluang untuk terus perbaiki prestasi.
Dalam masa sama dia cukup berterima kasih kepada pengurusan yang sentiasa menyokong dan menjaga kebajikannya dengan cukup baik.
“Saya terima keadaan saya, ini takdir dan saya kena kuatkan semangat mencari rezeki untuk anak, isteri dan keluarga saya. Setiap hari saya kuatkan semangat diri untuk kembali, saya ingin menjadi Faisal Halim yang sebelum ini.
“Saya tertinggal agak lama tujuh ke lapan bulan. Kalau tak main susah, bila dapat main senang nak perbaiki keadaan diri. Dari segi pergerakan tiada yang mengganggu,” kata Faisal yang baru-baru ini menerima kurniaan pingat Darjah Kebesaran AIS bersempena Hari Keputeraan Sultan Selangor.
Untuk makluman, Faisal Halim melecur tahap empat pada beberapa bahagian tubuhnya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di luar sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.
Kes berprofil tinggi itu sehingga kini tidak dapat diselesaikan meskipun PDRM telah mengambil keterangan 23 individu dan menahan tiga suspek untuk membantu siasatan.
Sejurus kembali ke padang, Faisal yang dulu merupakan tonggak utama pasukan belum lagi membuat penampilan penuh 90 minit.