Juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) berputih mata apabila tersingkir daripada saingan Malaysia Futsal Cup, ditunjukkan jalan keluar oleh Pahang Rangers yang menterjemahkan kebangkitkan sensasi penuh dramatik dalam aksi separuh akhir kedua pada Ahad.
Pahang Rangers bertandang ke Stadium Bandaraya Pasir Gudang, dengan ketinggalan agregat dua gol, dan rekod buruk tidak pernah menewaskan JDT dalam lima pertemuan terakhir. Jadi, ramai termasuk penyokong mereka sendiri yang sudah awal-awal lagi tidak percaya keputusan itu boleh diterbalikkan.
Tetapi tidak pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca Cilleros, yang dari awal percaya pasukannya akan mara ke final. Dan dia gembira, kepercayaannya itu bukan sekadar retorik ataupun omongan kosong.
“Tamat aksi pertama di Kuantan, saya bagitahu anda walaupun kami tewas, tetapi kami akan berada di final. Kerana apa, kerana kami bermain cantik dan cipta peluang, cuma gagal jaringkan gol. Saya tidak pernah meraguinya. Sekarang anda percaya, kami bermain lebih baik? Adakah saya cakap kosong?
Berita Berkaitan: Kami Kalah, Tapi Kami Akan Mara Ke Final – Luis
“Semalam, kami lakukan apa yang kami tidak lakukan pada aksi pertama, iaitu menjaringkan gol. Kami bermain cantik, berikan segalanya untuk perlawanan ini, mencipta peluang dan akhirnya menjaringkan gol. Kami nampak lebih solid di pertahanan dan lebih konsisten ketika menyerang.
“Pemain-pemain agresif, bermain dengan sepenuh hati, cukup fokus, tidak melakukan kesilapan dan tahu apa yang perlu mereka buat dan mereka lakukannya. Mereka sediakan fizikal dan mental untuk hadapi perlawanan ini seperti ia akan menentukan hidup mati mereka.
“Kita hanya buat satu kesilapan, ketika JDT menjaringkan gol ketiga hanya tiga saat sebelum tamat perlawanan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Kemudian di masa tambahan jelas sekali lagi kami lebih baik, mencipta banyak peluang, menjaringkan tiga gol, bertahan dengan cemerlang, menunjukkan kekuatan mental, menekan JDT, membuatkan mereka berada dalam tekanan dan melakukan kesilapan.
“Secara jujur, dalam liga ya, memang JDT sedikit lebih baik daripada kami, tetapi dalam saingan piala, kami lebih baik dalam kedua-dua perlawanan termasuk ketika tewas minggu lepas. Kami berhak untuk kemenangan ini dan sekarang masa untuk berehat sekejap sebelum fikirkan Selangor dalam aksi final,” ujar Fonseca kepada Otai Station.
Dalam aksi yang penuh tegang itu, Pahang Rangers mendahului 2-0 menerusi Harith Naim dan Felipe de Souza sekaligus menyamakan agregat 5-5. Tetapi gol Awalluddin Mohd Nawi mengurangkan defisit jaringan buat JDT dan kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Pahang Rangers mengganas dengan Felipe de Souza meledak lagi dua jaringan dan melengkapkan hatrik untuk memberi kelebihan 4-1 kepada Pahang Rangers.
Jaringan Ridzwan Bakri memastikan agregat kembali terikat pada minit ke-35 dan seharusnya Pahang Rangers menang pada masa sebenar perlawanan setelah Matheus Moura menjaringkan gol kelima pada minit ke-39.
Namun tiga saat sebelum tamat, Awalluddin menjaringkan gol ketiga JDT dan memastikan perlawanan masuk ke masa tambahan. Di masa tambahan, Pahang Rangers terlalu ampuh, menjaringkan tiga gol menerusi Harith Naim, Felipe dan Norakmal Norizal untuk melengkapkan kemenangan penuh bergaya.