Selangor merawat duka kehilangan bintang utama Syed Aizad Daniel Syed Nasir yang bakal menyertai kelab selatan tanah air, dengan membawa masuk tiga bekas tonggak Pahang Rangers untuk memperkuatkan pasukan.
Baca juga: Tinggalkan Selangor, Syed Aizad Hampiri JDT
Tiga pemain itu adalah Saiful Nizam Mohd Ali, Nazreen Saudi dan Farhan Khairul Anuar.
Saiful Nizam yang juga bekas pemain kebangsaan merupakan pivot yang cukup popular dalam arena futsal tanah air.
Pemain berasal dari Johor ini bersama Pahang Rangers selama enam musim sejak 2019 dan meninggalkan gergasi pantai timur itu setelah kontraknya berakhir hujung musim lalu.
Sepanjang bersama Pahang Rangers, Saiful Nizam membuat total 75 penampilan, menjaringkan 35 gol dan mencetak 21 assist. Dia merupakan watak utama ketika membantu pasukan itu muncul juara berganda MPFL dan Malaysia Futsal Cup pada 2023.
Nazreen atau lebih dikenali sebagai Chem pula, kembali menyertai Selangor yang pernah diwakilinya pada 2019.
Selepas membantu Selangor muncul juara MPFL tahun tersebut, Chem berkelana ke Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, sebelum kembali ke negeri kelahirannya untuk menyarung jersi Pahang Rangers selama dua musim pada 2023 dan 2024.
Manakala Farhan atau Apan, lebih awal meninggalkan Pahang Rangers pada penghujung 2023 untuk menyertai Shah Alam City pada musim lalu.
Sepanjang bersama Pahang Rangers selama lima musim bermula 2019, Apan telah membina nama dan reputasi sebagai salah seorang pemain terbaik dalam negara sehingga berjaya memecah masuk ke dalam skuad kebangsaan.
Kemasukan tiga pemain ini jelas memperlihatkan keinginan besar Selangor yang menamatkan musim 2024 sebagai naib juara berganda, untuk kembali merampas takhta dari genggaman JDT.
Baca juga: Pahang Rangers Hilang Empat Pemain Tonggak
Dalam pada itu, Pahang Rangers pula setakat ini baru mengumumkan kemasukan seorang pemain baru iaitu Razin Rahim yang direkrut dari Shah Alam City.
“Berusia 29 tahun, pemain di posisi fix dan ala ini membawa bersama reputasi dan pengalaman luas dalam arena futsal tanah air.
“Antara tonggak Perak selama 6 musim dari 2015-2020, Razin atau mesra dengan panggilan John turut pernah menyarung jersi Sabah, PDRM, Penang dan musim lalu bersama Shah Alam City.
“Kehadiran John diyakini dapat membawa impak dan lebih dimensi ke dalam skuad bagi mengharungi musim baru,” menurut Pahang Rangers dalam satu kenyataan baru-baru ini.