HomeSukan"Semua Kelab Liga Malaysia Bangga, Kagumi Pencapaian JDT"

“Semua Kelab Liga Malaysia Bangga, Kagumi Pencapaian JDT”

Kejayaan JDT menempatkan diri di tangga kelapan kelab terbaik Asia dianggap sebagai sesuatu yang cukup bermakna buat bola sepak negara, sekaligus membuktikan kelab tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi rantau ini.

Pengerusi Kuala Lumpur City FC (KL City), Syed Yazid Syed Omar berkata, kejayaan Harimau Selatan itu bukan sahaja mengangkat martabat Harimau Selatan malah turut mencetus rasa bangga dan dikagumi semua kelab Liga Malaysia (Liga-M).

Menurutnya, ia juga menjadi inspirasi buat pasukan lain dalam Liga-M untuk terus melangkah ke arah lebih profesional dengan visi, misi dan kesungguhan yang sama.

“Kita perlu berbangga dengan pencapaian JDT muncul sebagai lapan kelab terbaik Asia, mengatasi kelab-kelab Korea Selatan, China dan negara Asia Barat lain.

“Bukan mudah untuk capai seperti dilakukan JDT di mana ia menuntut komitmen, masa, perancangan jitu dan segala-galanya.

“Kelab-kelab Liga Malaysia berbangga dengan apa diraih JDT dan kejayaan itu sebenarnya membakar semangat kelab lain untuk bergerak profesional dan berjaya,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro.

Terdahulu, Opta Power Ranking mengesahkan skuad bimbingan Xisco Munoz kini menduduki tangga kelapan terbaik Asia serta ke-207 dunia, melonjak tujuh anak tangga berbanding kedudukan terdahulu.

Lebih manis, kedudukan itu mengatasi beberapa nama besar dunia termasuk Estudiantes, Stoke City, Lokomotiv Moscow, Velez Sarsfield, Independiente, Besiktas, LA Galaxy, Las Palmas dan Empoli.

Kedudukan itu sekali gus mengesahkan JDT sebagai pasukan nombor satu Asia Tenggara, mengatasi pencabar terdekat mereka, Buriram United dari Thailand yang kini berada di tangga ke-33 Asia.

Hanya tujuh kelab berada di hadapan JDT di benua Asia, terdiri daripada gergasi Arab Saudi iaitu Al-Hilal, Al-Nassr, Al-Ahli dan Al-Ittihad yang mendominasi empat teratas.

Tiga lagi pasukan ialah wakil dari Jepun yang berada di tangga kelima, keenam dan ketujuh iaitu Sanfreece Hiroshima, Vissel Kobe dan Machida Zelvia.

Lebih manis, kedudukan ini turut menutup mulut pengkritik yang sering mempertikaikan kemampuan kelab dari Malaysia untuk bersaing dengan kelab elit Asia.

Kejayaan JDT ini jelas mengukuhkan lagi dominasi mereka bukan sahaja di pentas domestik, malah semakin disegani di peringkat Asia dengan reputasi yang kian meningkat.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!