HomeSukan"Sertai Selangor Bukan Hanya Untuk Menang Trofi" - Zach Clough

“Sertai Selangor Bukan Hanya Untuk Menang Trofi” – Zach Clough

Pemain tengah baharu Selangor, Zach Clough menegaskan bahawa keputusannya menyertai Red Giants bukan sekadar demi mengejar kejuaraan.

“Datang ke Selangor bukan hanya keputusan berkaitan bola sepak, tetapi juga satu pengalaman hidup,” kata pemain kelahiran England itu selepas juara Liga Super dua kali itu secara rasmi mengumumkannya sebagai import kelima mereka bagi musim 2025/26.

Pada usia 30 tahun, Clough hadir dengan pengalaman luas hasil penglibatannya dalam bola sepak England dan Australia. Selepas mencipta nama bersama Bolton Wanderers pada 2015 dengan 23 gol dalam 77 penampilan, Clough pernah dianggap antara bakat tengah paling menyerlah di England ketika itu.

Perpindahan berprofil tinggi ke Nottingham Forest menyusul, diikuti dengan aksi bersama Wigan Athletic dan Carlisle United yang menyaksikan dirinya semakin matang melalui pelbagai cabaran dan kenangan dalam Liga Bola Sepak Inggeris.

Langkahnya ke Liga A Australia pada 2022 pula menjadi titik perubahan bukan sahaja secara profesional, tetapi juga dari segi peribadi.

Dengan 22 gol dalam 93 perlawanan dan anugerah Pemain Terbaik Musim 2023-2024, Clough menjadi tonggak penting buat Adelaide.

Kini, dengan penutup bab di Australia, tumpuan Clough beralih ke Asia Tenggara.

“Saya fokus untuk menyesuaikan diri secepat mungkin dengan bekerja keras, berbincang dengan rakan sepasukan, dan memahami apa yang dimahukan jurulatih,” katanya.

“Saya pernah bermain di bawah ramai pengurus di pelbagai kelab, dan telah melalui saat manis serta sukar. Semua itu membentuk saya, dan saya percaya ia telah mempersiapkan saya untuk cabaran baharu di Selangor.”

Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi dijangka akan mempertaruhkan kebijaksanaan dan ketenangan Clough dalam situasi sukar.

Dikenali dengan ketajaman membuat keputusan, larian pantas ke dalam kotak penalti, dan keupayaan untuk bermain di bawah tekanan, Clough dijangka menjadi penghubung semulajadi antara bahagian tengah dan serangan.

Kehadirannya dijangka melengkapi pemain sayap seperti Alvin Fortes dan Faisal Halim, yang pasti tidak sabar untuk menghantar hantaran lintang kepada pemain tengah yang bijak memilih masa untuk masuk ke kotak penalti.

Selangor, yang akan turut bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) Dua dan Kejohanan Kelab AFF musim ini, berharap kreativiti dan kepimpinan Clough mampu memacu mereka menghadapi jadual padat di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Bola sepak bergerak pantas – jujurnya, rasa macam baru semalam saya berusia 18 tahun, dan sekarang dah 30,” ujar Clough.

“Sebab itu saya belajar untuk menghargai perjalanan ini dan menikmati setiap detik. Peluang seperti ini bukan selalu datang, dan saya mahu manfaatkannya sepenuhnya – untuk diri saya, keluarga, dan para penyokong.”

Clough menyertai skuad Selangor yang diperbaharui, yang turut mendapatkan pemain tengah Thailand, Picha Autra, penyerang Brazil Chrigor Moraes dan Willian Lira, serta pemain tengah Afghanistan, Omid Musawi.

Ketika mereka bersedia untuk menghadapi kempen Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia, ketibaan Clough bukan sahaja membuka bab baharu dalam kariernya, malah mencerminkan keyakinan baharu terhadap aspirasi Selangor memburu kejuaraan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!