HomePanoramaShree Sharmini, Bekas Atlet Karate Kini Inspektor Polis

Shree Sharmini, Bekas Atlet Karate Kini Inspektor Polis

Shree Sharmini Segaran, atlet karate yang pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Incheon 2014 dan pingat emas di Sukan SEA KL 2017 kini pegawai polis berpangkat Inspektor.

Shree Sharmini adalah antara 345 Inspektor Percubaan yang menamatkan program latihan asas kepolisan selama sembilan bulan di Pulapol pada Jumaat. Beliau sekaligus mengikut jejak beberapa bekas atlet yang bergelar Inspektor antaranya Razie Rahim, Jivan Mohan (hoki); dan V.Kavichelvan (bolasepak).

Bekas atlet dari Kulim yang sebelum ini bertugas Lans Koperal di Unit Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya itu mengakui perjalanan ke pangkat inspektor bukan mudah, terutama apabila perlu bersaing dengan peserta muda.

Namun Shree Sharmini yang berusia 33 tahun, menegaskan pengalaman sebagai bekas atlet banyak mengajarnya tentang disiplin dan semangat juang.

Malah setiap kali berdepan dengan cabaran ketika latihan, beliau akan mengingat kembali detik di gelanggang yang menuntutnya untuk tidak mudah menyerah.

“Sebagai anggota berusia 30-an, saya perlu bersaing dengan calon berumur 20-an. Tapi saya ambil cabaran itu sebagai motivasi untuk buktikan kemampuan diri.

“Saya bersyukur kerana dalam karate, saya belajar tentang disiplin dan semangat juang. Saya dah biasa dengan latihan keras dan disiplin, setiap kali saya rasa nak putus asa dalam latihan, saya akan ingat bagaimana saya berlawan di gelanggang .. tidak boleh menyerah,” katanya.

Tambahnya lagi, “Tempoh latihan kali ini jauh lebih mencabar kerana perlu menyesuaikan diri sebagai ketua, bukan sekadar pengikut. Dulu kita ikut arahan, sekarang kita belajar memimpin. Itu perbezaan besar yang paling menguji.”

Beliau turut berterima kasih kepada jurulatih, rakan serta pegawai atasan atas sokongan yang diberikan, sambil menzahirkan penghargaan kepada majikan terdahulu yang banyak memahami komitmennya terhadap sukan dan kerjaya.

“Pegawai-pegawai atasan saya dulu banyak beri ruang untuk saya berlatih atau bertanding. Mereka faham perjuangan saya, bawa nama Malaysia, berikan saya pelepasan penuh.

“Bila masuk dunia kepolisan (Inspektor Percubaan), saya mahu bawa semangat sama, fokus, disiplin dan tidak mudah menyerah,” katanya lagi.

Bagi Sharmini, kejayaan menamatkan latihan sebagai pegawai bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi simbol semangat juang seorang wanita yang tidak pernah berhenti berusaha, sama ada di gelanggang mahupun dalam khidmat kepada negara.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!