Susulan kekalahan mengejut kepada Fulham pada Ahad, kesilapan demi kesilapan yang berlaku di benteng pertahanan Liverpool antara yang hangat diperkatakan.
Ini adalah kekalahan kedua Liverpool musim ini, yang pertama selepas mengharungi 27 perlawanan sejak tewas kepada Nottingham Forest.
Lebih perit, ini adalah kali pertama mereka bolos tiga gol di separuh masa pertama sejak tewas 2-7 kepada Aston Villa pada 2020.
Ia lantas menyebabkan penyokong bolasepak seluruh dunia mentertawakan dan mengutuk prestasi longlai pemain-pemain yang dikatakan antara terbaik dunia seperti Virgil Van Dijk, Andrew Robertson, Curtis Jones dan Ibrahima Konate.
Liverpool bernasib baik kesilapan Konate seawal minit keempat tidak dihukum pemain Fulham; tetapi malangnya mereka menerima padah apabila tiga gol Fulham terhasil semuanya dek kesilapan di pertahanan.
Gol pertama oleh Ryan Sessegnon hadir gara-gara kesilapan Jones yang dilihat kekok bermain di posisi bek kanan; gol kedua oleh Alex Iwobi pula berikutan kesilapan Robertson yang gagal membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan; manakala gol ketiga Rodygo Muniz pula setelah dia bijak melepasi kawalan Van Dijk.
Bagi Arne Slot, walaupun mengakui kesilapan benteng adalah punca kekalahan, namun dia tidak bersetuju pertahanannya terutama kapten pasukan Van Dijk dipersalahkan.
“Saya masih melihat banyak perkara yang Virgil lakukan dengan sangat baik.
“Jika anda bermain 50 ke 60 perlawanan dalam satu musim, pasti akan ada juga hari yang dia tidak menjadi, walaupun untuknya, satu atau dua detik di mana dia boleh lakukan dengan lebih baik.
Tambahnya, “Saya tidak fikir kesilapan yang kami lakukan ada kaitan dengan keletihan pemain. Saya tahu bagaimana perkara ini berlaku, ia sama sahaja di mana-mana dalam bolasepak.
“Jika anda bolos tiga gol dalam separuh masa pertama, semua orang akan kata, ia adalah bencana. Tetapi jika anda lihat semula, dengan mengetahui kami telah dibolosi tiga kali, anda mungkin akan nampak beberapa detik yang baik juga.”
Pengurus dari Belanda itu turut menolak tanggapan pasukannya mula bermain sambil lewa kerana sudah selesa dengan kelebihan 11 mata yang hampir pasti tidak boleh dikejar oleh pencabar terdekat Arsenal.
“Saya rasa tiada sebab untuk kami berasa terlalu selesa, kami bukan berada di tangga teratas kerana memenangi setiap perlawanan dengan beza tiga atau empat gol.
“Saya rasa sesiapa yang menonton perlawanan kami akan tahu, ia memerlukan begitu banyak usaha, kerja keras untuk kami menang perlawanan, sudah tentu digabungkan dengan kualiti.
“Pasukan yang menjuarai liga dalam empat musim terakhir (Manchester City) hampir setiap kali sudah mendahului 3-0 pada separuh masa pertama dan itu bukan situasi kami,” ujarnya.