Juara dua kali Piala Dunia Ragbi, Sonny Bill Williams menghargai pelantikannya sebagai Duta Sukan Johor dengan harapan peranannya dapat membantu Johor melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
Sambil menganggap ia sebagai penghormatan besar buat dirinya, Sonny atau turut dikenali dengan nama Hamzah mengakui visi Pemangku Raja Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam bidang sukan serta rakyat Johor, yang mendorong beliau menerima peranan itu.
“Saya percaya sukan mempunyai kuasa mengubah kehidupan, membentuk keperibadian dan menyatukan masyarakat. Komitmen ini selari dengan visi kerajaan Johor.
“Jadi apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengajak saya untuk terlibat dalam pembangunan sukan di negeri ini, saya terus setuju,” ujarnya.
Tambah Williams lagi, pihaknya sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi memberi inspirasi kepada generasi atlet muda untuk berusaha gigih bagi mencapai impian mereka.
“Melalui sesi latihan, program bimbingan serta pembangunan akar umbi, saya berharap dapat menyerap kepentingan disiplin, rasa hormat dan ketahanan diri atlet muda.
“Realitinya bukan semua mampu mencapai cita-cita menjadi atlet bertaraf dunia, tetapi semua orang mampu menjadi versi terbaik diri mereka,” katanya yang juga bekas peninju profesional.
Williams, 39, yang meraih 58 kaps bersama pasukan New Zealand, merupakan sebahagian daripada pasukan yang menjuarai Piala Dunia pada 2011 dan 2015.
Bulan lepas, TMJ mengumumkan beberapa ikon sukan akan dilantik sebagai Duta Sukan Johor termasuk Datuk Lee Chong Wei, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill.
Dalam pada itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) Mohd Ekmaluddin Ishak berkata pelantikan legenda All Blacks itu merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen negeri dalam memperkasakan kecemerlangan sukan.
“Beliau akan memainkan peranan sebagai duta kecemerlangan dan disiplin sukan, serta menjadi sumber inspirasi kepada atlet muda di seluruh Johor.
“Beliau juga akan terlibat secara aktif dalam program pembangunan, klinik sukan dan inisiatif bimbingan bagi memupuk budaya sukan yang kukuh di negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara MSNJ dan Williams.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah.