HomeSpurs Sertai Senarai Kelab Pernah Dituduh 'Tapping-Up' Pemain

Spurs Sertai Senarai Kelab Pernah Dituduh ‘Tapping-Up’ Pemain

Tottenham Hotspurs kini menyertai senarai kelab ternama seperti Chelsea, Liverpool dan Barcelona yang pernah dituduh melakukan ‘tapping up’ – atau pendek kata, cuba memikat pemain secara tidak sah (rundingan pintu belakang) semasa mereka masih terikat kontrak dengan kelab lain.

Ketika usaha Spurs untuk mendapatkan khidmat Morgan Gibbs-White dari Nottingham Forest masih belum muktamad, situasi ini semakin rumit. Sumber dari Forest memaklumkan kepada media bahawa mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas pendekatan Tottenham yang dianggap melanggar peraturan.

Walaupun ada laporan mengatakan Spurs telah bersetuju membayar klausa pelepasan bernilai £60 juta bagi Gibbs-White, Forest tetap tidak berpuas hati dengan cara pendekatan itu dibuat – terutamanya kerana dipercayai ada pelanggaran terhadap perjanjian kerahsiaan dalam kontraknya.

Kes ini kini berada dalam situasi tidak menentu – dan mungkin berlarutan.

Beberapa Kes Tapping Up Paling Popular

Christian Ziege (Middlebrough ke Liverpool)

Liverpool menandatangani Ziege dari Middlesbrough selepas mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £5.5 juta. Namun, Boro mendakwa mereka menerima tawaran lebih tinggi dari kelab lain, dan percaya pemain itu sudah ‘dipikat’ terlebih dahulu oleh Liverpool.

Pada tahun 2004, kes itu hampir dibawa ke Mahkamah Tinggi, tetapi akhirnya diselesaikan hanya beberapa hari sebelum perbicaraan, dengan Pengerusi Boro Steve Gibson dan Ketua Eksekutif Liverpool Rick Parry kedua-duanya dilihat berkeras dalam isu yang lebih bersifat perbalahan peribadi.

Boro dilaporkan menuntut pampasan melebihi £2.5 juta, jumlah yang diperoleh daripada pelbagai faktor termasuk kerugian hasil jualan barangan, anggaran kehilangan 10 mata dalam musim 2000–01, dan mereka juga mendakwa Liverpool perlu menanggung kos membawa masuk Terry Venables untuk menyelamatkan pasukan daripada tersingkir.

Philippe Mexes (Auxerre ke Roma)

Mexes menyertai Roma dari kelab zaman kanak-kanaknya, Auxerre, pada tahun 2004, dan kes tapping up dibawa secara rasmi terhadap pemain dan kelab tersebut.

Selepas proses rayuan dan perbicaraan, Mexes akhirnya menjalani penggantungan enam minggu pada penghujung musim pertamanya di Rome sebelum membayar ganti rugi kepada bekas kelabnya sendiri – dengan Roma akhirnya diarahkan membayar denda sebanyak €7 juta.

Beliau pada asalnya digantung daripada bermain selama enam minggu, tetapi hukuman itu dibatalkan selepas rayuan berjaya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport).

Namun, kelab itu tetap dihukum dengan larangan untuk menandatangani pemain baharu kecuali ejen bebas – sesuatu yang sebenarnya berpihak kepada Mexes, kerana dia berjaya membuktikan kemampuan dan menjadi pemain utama ketika Roma menamatkan musim di tempat kedua Serie A.

Charles N’Zogbia (Le Havre ke Newcastle)

N’Zogbia menjalani trial bersama Newcastle walaupun masih terikat kontrak dengan Le Havre – walaupun pemain itu sendiri menyangka kontraknya lebih pendek daripada yang sebenarnya.

“Pada mulanya, Le Havre tawarkan saya kontrak setahun,” katanya ketika itu. “Sebenarnya pegawai kelab telah menipu saya kerana saya tandatangan untuk tiga tahun.”

“Saya terpaksa tinggalkan Le Havre. Kalau saya kekal, saya akan tersekat. Satu-satunya pilihan ialah ke luar negara kerana saya tidak boleh tandatangan dengan kelab lain dalam Perancis.”

Pemain berusia 19 tahun itu berpindah ke Newcastle dalam usaha mengelak peraturan pembangunan pemain muda yang mewajibkan pembayaran pampasan untuk pemain bawah umur 23 tahun yang berpindah antara kelab domestik.

FIFA campur tangan dan membenarkan N’Zogbia didaftarkan di Newcastle, yang kemudiannya diarahkan membayar pampasan sebanyak £250,000.

Ashley Cole (Arsenal ke Chelsea)

Bertemu dan makan malam dengan pengurus kelab lawan bukanlah cara terbaik untuk urus perpindahan, apatah lagi jika dilakukan secara rahsia.

Ashley Cole dilihat bersama Jose Mourinho di London, dan setahun kemudian, selepas saga yang penuh kontroversi, beliau berpindah ke Chelsea.

Akibat peristiwa tersebut, Chelsea didenda £300,000 dan dilaporkan hampir dikenakan pemotongan mata. Cole pula didenda £100,000 dan ejennya digantung selama 18 bulan, manakala Mourinho turut dikenakan denda sebanyak £200,000.

Robbie Keane (Spurs ke Liverpool)

Tottenham terpaksa melepaskan Keane kepada Liverpool walaupun pemain itu sangat disayangi selepas enam tahun beraksi di White Hart Lane, dengan Pengerusi Daniel Levy berang dengan cara Rafa Benitez mengendalikan perpindahan tersebut – walaupun aduan rasmi akhirnya digugurkan.

“Saya sangat kecewa apabila mendengar, bukan sahaja Liverpool sedang berusaha di belakang tabir untuk membawa Robbie ke Anfield, tetapi Robbie sendiri memang mahu berpindah,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak “menganggap ia sebagai satu perpindahan biasa.”

Keane kemudiannya mengakui bahawa perpindahan itu adalah satu kesilapan dan kembali menyertai Tottenham hanya enam bulan kemudian.

Virgil van Dijk (Southampton ke Liverpool)

Pada Jun 2017, laporan menyebut bahawa Van Dijk mahu menyertai Liverpool selepas Jurgen Klopp berjaya meyakinkannya, dengan dakwaan mengatakan pengurus Jerman itu telah bertemu pemain pertahanan tengah itu secara peribadi – di Blackpool.

Southampton bertindak balas dengan keras dan mengemukakan aduan rasmi kepada Premier League, dan difahamkan mereka memiliki dokumen yang mampu mensabitkan Liverpool, tetapi tidak mengemukakannya selepas pihak Liverpool mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi.

Liverpool berjanji untuk menamatkan minat mereka terhadap pemain tersebut – hanya untuk kembali enam bulan kemudian dan menjadikan Van Dijk pemain pertahanan termahal dunia pada ketika itu. Dan ternyata, penantian itu sangat berbaloi buat Liverpool.

Antoine Griezmann (Atletico Madrid ke Barcelona)

Griezmann dikatakan hampir berpindah dari Atletico Madrid pada musim panas 2017, tetapi beliau memilih untuk kekal bersama kelab itu yang ketika itu dikenakan larangan perpindahan.

Namun begitu, usaha Barcelona mendapatkan khidmat penyerang tersebut semakin terbuka, sehinggalah seorang pengarah Atletico mendakwa bahawa Barca telah menghubungi keluarga pemain itu.

Kelab tersebut tidak senang dengan tindakan berulang daripada Barcelona, walaupun Griezmann baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak hingga 2022, dan Atletico secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak untuk dijual.

“Sudah tentu Griezmann boleh tinggalkan kelab pada satu ketika nanti,” kata pengurus Diego Simeone.

“Jika seorang pemain datang kepada saya dan berkata, ‘Coach, saya ada peluang seumur hidup dan mahu berpindah,’ dan dia telah berikan segalanya untuk saya di atas padang, saya akan kata, ‘Tiada masalah.’”

Pemenang Piala Dunia itu akhirnya menyertai Barcelona, di mana beliau mengharungi dua musim yang kurang menyerlah sebelum kembali semula ke Atletico Madrid.

Rujukan : Planet Football

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!