“Tak boleh letak harapan tinggi jika inilah pemain terbaik yang kita ada.”
Pengarah kejurulatihan kebangsaan, Kenneth Jonassen akhirnya bersuara selepas prestasi hambar Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Solo, Indonesia minggu lalu.
Walaupun kecewa, Jonassen tetap optimis dan berfikiran jauh ke hadapan. Beliau percaya barisan pemain muda yang ada ketika ini mampu bangkit — asalkan diberi latihan yang betul dan sabar dengan proses.
Di Solo, kesemua lima wakil perseorangan lelaki — Roslie Razeeq Daniel, Louis Lee, Ayu Fu Sheng, Lim Boon Le dan Kong Wei Xiang — terkandas di pusingan 16 terbaik. Senario sama berlaku dalam acara perseorangan wanita apabila langkahan Ng Ler Qi, Lim Zhi Shin, Oo Shan Zi, Lee Mun dan Low Zi Yu turut terhenti di peringkat sama.
Malaysia hanya menunjukkan sedikit peningkatan dalam acara beregu, dengan tiga pasangan mara ke suku akhir — beregu wanita Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu serta dua beregu campuran, Loh Zi Heng-Noraqilah Maisarah Ramdan dan Datu Anif Isaac Asrah-Dania Sofea.
Namun, Jonassen menegaskan Malaysia perlu berhenti mengejar keputusan pantas.
“Kita sentiasa mahukan pingat. Tapi apa pilihan yang kita ada kalau ini sahaja pemain terbaik yang kita miliki?
“Kita bukan ada kemewahan untuk pilih 10 lagi pemain dengan tahap yang sama. Negara lain pun tak ada. Saya mungkin kecewa dengan prestasi beberapa individu, tetapi saya sendiri tak meletakkan harapan tinggi untuk acara perseorangan di Solo,” kata Jonassen.
Legenda badminton Denmark itu mengakui dia seorang yang berimpian besar, tetapi tetap berpijak di bumi nyata.
“Saya memang ada cita-cita tinggi, tapi saya tahu kedudukan kita dan apa yang perlu diperbaiki. Semua ini perlukan masa. Saya ada kesabaran — lebih-lebih lagi bila saya lihat usaha yang ditunjukkan oleh pemain dan jurulatih kita.”
Kenyataan beliau hadir sehari selepas bekas jurulatih negara, Wong Tat Meng memberi amaran bahawa masa depan badminton Malaysia bakal suram sekiranya tiada pembaharuan segera dilakukan.
Jonassen percaya laluan untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi bergantung kepada tiga perkara utama: kekuatan fizikal, disiplin taktikal dan mentaliti kompetitif.
“Inilah elemen yang kita kurang. Ada pemain yang sudah cukup kuat dari segi fizikal, tetapi ada juga yang perlu bina dari awal. Disiplin taktikal — iaitu mengikut perancangan permainan — sangat penting.
“Tetapi yang paling penting adalah kekuatan mental. Mampu kendalikan tekanan dan jangkaan, dan tetap beri persembahan terbaik di gelanggang — itulah yang membezakan antara pemain yang bagus dan pemain yang hebat.”