HomeSukan"Sukar Untuk Comeback, Peluang Seperti Sudah Tertutup"

“Sukar Untuk Comeback, Peluang Seperti Sudah Tertutup”

Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, berpijak di bumi nyata mengenai peluang pasukannya untuk meneruskan kemaraan ke final Piala Malaysia, setelah kekalahan besar 0-4 dalam aksi separuh akhir pertama kepada JDT di Gong Badak.

“Saya puas hati dengan persembahan anak buah yang bermain bersungguh-sungguh. Tetapi kelalaian pada 20 minit terakhir menyebabkan kita dihukum dengan tiga gol di saat akhir.

“Kita ada peluang (jaringkan gol) pada separuh masa pertama dan kedua tetapi pemain tak berjaya gunakan peluang itu.

“Sekarang saya perlu akui peluang ke final tipis sebab kita dah kena 4-0 di tempat sendiri. Di SSI kita tahu memang susah mana-mana pasukan lain nak buat come back dan jaringkan gol.

“Jadi selepas ini kita fokus kepada perlawanan Piala Shopee dahulu pada 22 Jan nanti… tak mahu fikir lagi pasal perlawanan kedua dengan JDT. Saya harap pemain dapat bersedia dengan cepat kerana tarikh perlawanan semakin dekat,” ujar Badrul selepas perlawanan.

Pada perlawanan di hadapan kira-kira 11,000 penyokong itu, JDT mendahului 1-0 pada minit ke-17 menerusi penyudah Romel Morales. Terengganu berjaya untuk bertahan dan cuba mengimbangi permainan namun gagal untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Begitupun ketika perlawanan menuju ke 10 minit terakhir, pemain-pemain tuan rumah seperti sudah hilang fokus sekaligus membenarkan Harimau Selatan menambah tiga jaringan.

Arif Aiman meledak dua jaringan pada minit ke-79 dan 83 sebelum Bergson da Silva melengkapkan kemenangan mutlak pada masa kecederaan.

Baca Juga: “Kalau Tak Bagus, Tiada Kelab Akan Tergilakan Arif Aiman”

Kedua-dua pasukan akan beraksi di perlawanan timbal balik pada 1 Februari depan, namun terlebih dahulu akan bertemu dalam saingan Liga Super pada 25 Januari, juga di Gong Badak.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!