HomeSukan"Tak Perlu Tiru Budaya Bolasepak Barat Semata-Mata" - Ryan Giggs

“Tak Perlu Tiru Budaya Bolasepak Barat Semata-Mata” – Ryan Giggs

Pesanan daripada lagenda Wales Ryan Giggs kepada pemain bola sepak Malaysia: “Saiz bukan segalanya, tubuh kecil bukan halangan.”

Lagenda Manchester United, Ryan Giggs melihat potensi besar yang masih belum digilap di rantau ini, dan menegaskan bahawa kejayaan dalam bola sepak bukan ditentukan oleh kekuatan fizikal semata-mata, tetapi oleh jati diri dan keperibadian pemain.

“Jangan lupa siapa diri anda dan dari mana anda datang. Tunjukkan personaliti anda di atas padang,” kata Giggs yang berada di Malaysia baru-baru ini untuk mempromosikan Maybank Challenge Cup, yang bakal menyaksikan Manchester United menentang Asean All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

Giggs menambah bahawa konsistensi, disiplin dan keyakinan diri merupakan tunjang sebenar kepada kerjaya yang panjang dan berjaya.

“Kalau anda ada bakat, itu satu kelebihan. Tapi anda perlu buktikan kemampuan anda setiap minggu,” katanya lagi.

Giggs mula mencuri tumpuan sejak berusia 17 tahun dengan larian pantas dan keyakinan luar biasa di atas padang. Mindanya terbentuk melalui latihan tanpa henti, suasana keras di jalanan Manchester dan cintanya yang mendalam terhadap kelab.

Kisah perjalanan karier Giggs seharusnya menjadi inspirasi buat pemain-pemain Malaysia.

“Saya selalu ingatkan, anda tak perlu tiru budaya bola sepak Barat semata-mata untuk diterima. Banggalah dengan identiti anda. Itulah yang menjadikan permainan anda berbeza,” katanya.

Giggs turut merujuk kepada beberapa bintang Asia seperti Park Ji Sung, Hidetoshi Nakata dan Shinji Kagawa yang berjaya mencipta nama di Eropah dengan gaya permainan tersendiri, kepintaran taktikal serta etika kerja yang luar biasa.

“Mereka telah membuka pintu sejak dua dekad lalu. Saya benar-benar percaya ia boleh berlaku lagi… mungkin dalam beberapa tahun akan datang.”

Bekas pengurus skuad kebangsaan Wales itu berkata, formula kejayaan sebenarnya bukan satu rahsia.

“Bermain di Eropah bukan sesuatu yang mustahil. Tetapi anda perlu bekerja keras, kekal fokus dan sentiasa bawa nilai-nilai yang telah anda pelajari sejak kecil.

Personaliti dan disiplin anda yang akan membawa anda jauh,” katanya.

Buat pemain-pemain Asia yang bercita-cita tinggi mahu beraksi di Liga Perdana Inggeris, pesanan Giggs cukup jelas — bakat akan buat anda dikenali, tapi keperibadianlah yang akan membawa anda sampai ke sana dan kekal di sana.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!