Pengurus Arsenal, Mikel Arteta membidas keputusan pengadil, Anthony Taylor menghadiahkan penalti pelik kepada Brighton ketika kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 awal pagi Ahad.
Arsenal mendahului menerusi jaringan bintang muda sensasi Ethan Nwaneri selepas 16 minit permainan. Namun di sepanjang perlawanan gagal mencipta lebih peluang jaringan dan dihukum dengan jaringan penyamaan menerusi sepakan penalti Joao Pedro di separuh masa kedua.
Penalti tersebut bagaimanapun menimbulkan pertikaian dan disifatkan pelik, ia dihadiahkan Taylor selepas William Saliba tertanduk muka Joao Pedro ketika berebut bola di udara, dalam kata lain ia situasi lebih kepada pelanggaran kepala.
“Saya tidak pernah melihat keputusan penalti seperti ini sepanjang karier saya. Saya tanya pemain-pemain dan lain-lain, mereka juga tak pernah lihat insiden pelik seperti ini.
“Apabila anda lihat balik insiden tersebut, jarak, pemain, Pedro sentuh bola, Saliba sentuh bola, ia perlanggaran. Kedua-duanya berlaga kepala. Saya ada minta pegawai perlawanan check VAR. Selepas tiga saat, dia kata mereka juga dah check dan ia adalah penalti.
“Begitu cepat, tak tahu apa yang mereka check, tiada siapa nampak, ia mengarut,” ujar Arteta penuh kecewa.
Baca juga: Mengecewakan Apabila Control Game Tapi Tak Menang
Namun, pengurus dari Sepanyol itu mengakui mereka tidak bermain pada standard atau tahap yang sepatutnya sehingga menyebabkan tercicir dua mata penting.
“Dengan prestasi semasa mengambil kira masalah kecederaan bertimpa-timpa dan masalah kesihatan terbaru, sudah tentu saya perlu memberikan pemain-pemain saya kredit.
“Tetapi apa yang mengecewakan apabila kami tidak begitu agresif dan tidak menunjukkan kualiti sepatutnya terutama di separuh masa kedua untuk mendominasi perlawanan,” tambahnya lagi.
Keputusan seri bermaksud Arsenal semakin tertekan untuk mengejar pendahulu, Liverpool yang tidak menunjukkan sedikitpun tanda-tanda kemerosotan prestasi.
Ditanya sekiranya situasi semasa ini akan mendorong dia untuk masuk ke jendela perpindahan Januari, Arteta menegaskan keputusan tidak boleh dibuat bersandarkan kepada prestasi seseorang pemain pada satu-satu perlawanan dan banyak perkara perlu dipertimbangkan.