Selepas pengumuman Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baru dibuat, penyokong kini menantikan siapa lagi akan dibawa masuk untuk menganggotai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang dijangka tampil berwajah baru sepenuhnya pada 2025.
Ketika ini dua nama yang sedang dikait rapat untuk dilantik sebagai penolong kepada Cklamovski adalah Esteban Solari dan Tomohiro Katanosaka.
Esteban Solari atau lebih dikenali sebagai Tano Solari bukanlah nama asing dalam kancah bolasepak tanah air. Beliau cukup familiar dan cukup famous terutama di kalangan penyokong-penyokong JDT.
Baca juga: Peter Cklamovski Diumum Jurulatih Baru Harimau Malaya
Sebelum pelantikan Cklamovski, Solari yang membawa JDT menjulang treble pada 2023 adalah calon yang hangat disebut akan mengisi jawatan ditinggalkan Kim Pan-gon.
Walaupun sempat hanya semusim membimbing Harimau Selatan, Solari membina hubungan yang baik bersama boss JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pencetus kepada Revolusi Harimau Malaya yang sedang berlaku ini.
Dia menyertai kelab Chile, Everton Vina del Mar pada Mac lalu, namun baru-baru ini telah meninggalkan kelab itu dengan destinasi seterusnya buat Solari masih menjadi teka-teki, walaupun ramai percaya dia berada dalam perancangan Harimau Malaya.
Manakala Tomohiro Katanosaka pula, nama yang tidak begitu familiar, namun mempunyai rekod kejurulatihan yang cukup membanggakan.
Pengendali berusia 53 tahun itu yang sedang membimbing Oita Trinita, merupakan Jurulatih Terbaik J.League 2019. Dia adalah jurulatih yang bertanggungjawab merubah nasib Trinita dari beraksi di J3 hingga layak ke J1.
Katanosaka juga pernah membimbing Gamba Osaka muncul juara Piala J.League 2007 dan 2008 serta Piala Emperor 2009; serta mencipta gemilang bersama Sanfrecce Hiroshima apabila membimbing mereka muncul juara J.League 2012 dan 2013.
Manakala pada 2014, Katanosaka kembali ke Gamba Osaka dan membantu mereka menjulang treble J1.League, JLeague Cup dan Piala Emperor.
Mengambil kira reputasi dua jurulatih ini, jika benar mereka akan dibawa masuk ke dalam barisan kejurulatihan, pastinya ia satu berita gembira yang akan disambut baik penyokong bolasepak tanah air.
Apakah ia akan menjadi kenyataan, atau kekal sebagai sekadar satu spekulasi?