HomeSukanTeguran Buat FeiDin, Tolong Jaga Status Beregu No.2 Dunia!

Teguran Buat FeiDin, Tolong Jaga Status Beregu No.2 Dunia!

Gandingan beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani diminta supaya lebih serius dan mempamerkan aksi yang menepati kedudukan mereka sebagai beregu nombor dua dunia.

Teguran itu disuarakan bekas jaguh beregu, Datuk Seri Jalani Sidek yang kecewa dengan permainan sambil lewa pasangan itu ketika tersingkir dari saingan Terbuka Switzerland yang sedang berlangsung ketika ini.

Walaupun turun sebagai pilihan utama kejohanan, Sze Fei-Izzuddin atau lebih sinonim dengan panggilan FeiDin tewas mengejut di pusingan pertama kepada pasangan tidak ternama dari Jepun yang menghuni ranking ke-71 dunia, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dalam pertarungan tiga set.

Ia sekaligus menyaksikan FeiDin tersingkir awal dalam dua kejohanan berturut-turut di bumi Eropah selepas turut tewas di pusingan kedua All England kepada gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae minggu lalu.

“Kalah kepada gandingan Jepun yang kurang dikenali, kalau mereka betul gandingan nombor dua terbaik dunia, mereka harus memegang status itu. Sayang, mereka sudah bekerja keras untuk meraih status itu, namun tidak menjaganya, apa yang mereka buat?

“Ini menunjukkan orang lain pun buat kerja, kalau tak jaga, apa guna status nombor dua terbaik dunia. Selalu kalau kita beri harapan jadi seperti ini. Kenapa tidak mengekalkan posisi dan kalau tidak buat persediaan, baik tidak payah pergi.

“Tidak perlu untuk menguji, menguji dan hanya mahu digunakan pada kejohanan lain contohnya di Kejohanan Badminton Asia, tapi sama juga akan jumpa pasangan Asia bukannya Eropah,” kata Jalani.

Bekas gandingan Jalani, yang juga abang beliau iaitu Datuk Razif Sidek pula mengesa FeiDin supaya menumpukan perhatian untuk meningkatkan kondisi fizikal mereka agar dapat bangkit lebih bertenaga di Kejohanan Badminton Asia di China bulan depan.

“Mereka ada strategi dan skill untuk menyaingi Wan Ho-Seung Jae di All England tempoh hari, tetapi tidak mampu bertahan secara fizikal yang menyaksikan mereka tewas. Untuk menewaskan pasangan Korea itu atau mana-mana gandingan top dunia, FeiDin perlu kekalkan ketahanan dan tempo di tahap tinggi di sepanjang permainan.

“Mereka belum sempat bangkit secara moral dari kekalahan di All England, dan itu mungkin punca utama fokus terjejas ketika tewas kepada beregu Jepun di Terbuka Swiss.

“Tetapi saya percaya FeiDin boleh bangkit mengulangi prestasi sama yang menyaksikan mereka menang empat gelaran dalam enam bulan terakhir (Terbuka Jepun, China, Finland dan India) sekiranya mereka meningkatkan ketahanan fizikal.

“Mereka perlu ketepikan kekecewaan di Eropah dan bekerja keras untuk kembali kepada prestasi berkualiti tinggi yang ditunjukkan sebelum ini,” ujar Razif.

Foto Ehsan: Arkib NSTP

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!