HomeSukanTerbuka Jepun: Jonassen Berang Kekalahan Mudah Jun Hao

Terbuka Jepun: Jonassen Berang Kekalahan Mudah Jun Hao

Realiti pahit terpaksa ditelan oleh pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, selepas kekalahan mengecewakan kepada pemain Perancis, Alex Lanier, dalam pusingan pertama kejohanan Terbuka Jepun.

Jun Hao, yang kini menduduki ranking ke-24 dunia, hadir dengan harapan untuk mencipta kejutan ke atas pemain nombor lapan dunia itu, namun jelas Lanier berada di kelas tersendiri apabila mudah mencatat kemenangan 21-12, 21-14 dalam masa hanya 40 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Isnin.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki memandangkan Jun Hao menjadi satu-satunya wakil negara di kejohanan kali ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen, nyata kecewa apabila anak buahnya gagal memberi tentangan bermakna kepada juara bertahan tersebut.

“Jun Hao masih belum cukup konsisten untuk bersaing dengan pemain pada tahap ini,” kata Jonassen secara terus terang.

“Saya juga risau melihat betapa jauhnya kita dari segi kemampuan untuk menekan atau membuatkan Lanier rasa tidak selesa sepanjang perlawanan.

“Jun Hao cuba sedaya upaya, tetapi tidak pernah berada dalam zon selesa disebabkan corak permainan lawan yang pantas, hampir tiada kesilapan dan sentiasa berjuang untuk setiap mata. Itu membuatkan dia tertekan dalam kebanyakan pertarungan.”

Jonassen turut mengakui bahawa prestasi Jun Hao ketika ini amat membimbangkan menjelang Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos di Paris, dan menegaskan pemain itu perlu segera bangkit.

“Saya benci kalah, tapi lebih mengecewakan bila langsung tak mampu memberi cabaran kepada lawan yang hebat.

“Sebelum kejohanan ini, saya mencari jawapan dari segi persediaan ke Paris – sejauh mana tahap kita sekarang? Dan hari ini saya dapat jawapannya – masih jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuhi. Sekarang masanya untuk bangkit.”

Tahun 2025 menyaksikan Jun Hao masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, dengan pencapaian terbaiknya setakat ini hanya mara ke suku akhir Terbuka Singapura bulan lalu.

Selain itu, bekas juara Remaja Asia 2017 itu terus gagal menyerlah apabila tersingkir awal dalam semua kejohanan individu lain sepanjang musim ini.

Mengulas mengenai aspek yang perlu segera diperbaiki menjelang kejohanan dunia, Jonassen menjelaskan ada dua perkara utama.

“Pertama sekali ialah kelajuan permainan. Dia perlu belajar bermain dengan lebih pantas dan mampu menyesuaikan diri dengan tempo laju yang dibawa lawan.

“Kedua, dia perlu faham dan terima betapa pentingnya setiap mata. Di peringkat ini, kalau kita tak buat lawan rasa tergugat atau ragu-ragu, mereka akan buat perkara yang sama terhadap kita.”

Jun Hao masih mempunyai satu lagi peluang terakhir untuk membuktikan kemampuannya sebelum ke Paris apabila dia dijadual beraksi di Terbuka China yang akan bermula Selasa depan di Changzhou.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!