HomeSukanTidak Perlu Persahabatan, Cukup Pemain Fahami Konsep - Cklamovski

Tidak Perlu Persahabatan, Cukup Pemain Fahami Konsep – Cklamovski

Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tidak melihat ketiadaan sebarang perlawanan persahabatan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac depan sebagai satu masalah besar.

Menurutnya, apa yang penting adalah memanfaatkan kem latihan pusat yang bermula Isnin ini (17 Mac) untuk membentuk persefahaman dan memastikan pemain memahami konsep permainan yang diterapkan.

“Ia sememangnya bukan kem latihan yang panjang, kami cuma ada kira-kira lapan hari jadi kami perlu menggunakan masa yang ada sebaik mungkin bagi membentuk mentaliti dan memastikan pasukan dapat mempamerkan aksi terbaik.

“Kami mahu menunjukkan komitmen, intensiti serta kesungguhan bagi memastikan penyokong bangga dengan persembahan pasukan. Tidak kira sama ada kem latihan ini panjang atau pendek, kami akan memaksimumkan penggunaannya,” ujar Cklamovski.

Meskipun tiada aksi pemanas badan, Cklamovski berkata dia akan mengadakan perlawanan tertutup secara dalaman bagi menerapkan taktikal dan strategi yang diinginkan.

Perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim nanti akan menjadi aksi pertama Harimau Malaya bagi tahun 2025 dan yang pertama di bawah kendalian Cklamovski yang dilantik pada Januari lalu, menggantikan Pau Marti Vicente.

Seramai 27 pemain telah dipanggil Cklamovski ke kem latihan pusat, dengan Faisal Halim kembali ke dalam skuad selepas hampir setahun tersisih kerana insiden serangan asid. Manakala kejutan terbesar adalah tersenarainya pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Penampilan terakhir Harimau Malaya sebelum ini adalah di Piala AFF 2024, yang mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan setelah mencatat hanya satu kemenangan iaitu menewaskan Timor Leste 3-2, dan seri dua perlawanan menentang Kemboja (2-2) dan Singapura (0-0).

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!