Pengaruh luas ikon bolasepak Australia, Tim Cahill dapat membawa masuk nama-nama besar untuk membimbing Harimau Malaya.
Demikian menurut laporan akhbar tempatan yang mengaitkan beberapa nama seperti Ange Postecoglou (Tottenham Hotspurs), Peter Cklamovski (FC Tokyo) dan Kevin Muscat (Shanghai Port) sebagai calon berpotensi.
Menurut laporan NST, Tim Cahill yang merupakan bekas pemain Everton, New York Red Bulls dan skuad kebangsaan Australia, memegang peranan penting di sebalik penstrukturan semula Harimau Malaya.
Baca juga: Penyesalan Terbesar Kim Pan-gon bersama Harimau Malaya
Dia telah mengadakan pertemuan dengan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) beberapa kali namun sehingga kini tiada siapa tahu apa peranan sebenarnya bersama Harimau Malaya nanti.
Bagaimanapun ramai yang menyokong kehadiran Cahill untuk merevolusikan bolasepak tanah air mengambil kira latar belakang hebatnya itu.
Postecoglou dikaitkan berikutan dia kini mengharungi tempoh yang sangat sukar bersama Spurs. Pengendali berusia 59 tahun itu turut menjadi sasaran kecaman penyokong berikutan keputusan-keputusan tidak menentu dilakar Spurs musim ini.
Dia yang pernah membimbing Australia dari 2013 – 2017 juga mempunyai hubungan yang baik dengan Tim Cahill.
Cklamovski pula, merupakan bekas penolong Postecoglou dan dia sudahpun mengumumkan akan meninggalkan FC Tokyo apabila kontraknya berakhir pada hujung bulan Januari depan. Masa depannya turut menjadi teka-teki.
Manakala Kevin Muscat, juga dikatakan sebagai calon hangat. Bekas rakan sepasukan Cahill itu membina imej di Jepun dengan memimpin Yokohama F. Marinos menjulang kejuaraan liga dan dua kali muncul naib juara.
Kontraknya bersama Shanghai Port akan berakhir hujung bulan ini.
Jurulatih Bukan Nama Besar
Sebelum ini, tiga nama yang hangat dikaitkan adalah Cahill sendiri, bersama-sama dua bekas pengendali JDT iaitu Esteban Solari dan Benjamin Mora.
Namun Mora nampaknya tiada dalam perancangan setelah dia diumumkan sebagai jurulatih baru kelab Mexico, Gallos Blancos de Queretaro.
Sementara itu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memberikan bayangan berbeza mengenai calon jurulatih Harimau Malaya yang menurutnya bukan nama besar.
“Tugasan mencabar buat jurulatih baru Harimau Malaya. Bukan nama besar tapi miliki pengalaman luas bola sepak Asia menerusi pencapaian di pentas antarabangsa dan domestik. Welcome to Malaysia and good luck, Saudi here we go!”
Segala teka-teki dijangka akan terjawab pada 15 Disember ini.