Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melontarkan persoalan apakah yang dimaksudkan mengenai jurang antara JDT dan Selangor semakin mengecil.
CEO Selangor FC, Johan Kamal dalam sidang media selepas Majlis Kerjasama antara Provident dan SFC, menyatakan Red Giants masih berada dalam landasan tepat untuk muncul antara kelab terbaik di negara ini, meskipun tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak diambil alih RMS pada 2018.
“Bagi saya, kita perlu bersikap realistik dan melihat saingan yang kompetitif di liga kita. Bagi dua musim lepas, kita berjaya rapatkan jurang dengan pasukan juara (Johor Darul Ta’zim).”
Tambahnya: KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita masih sama dengan sasar dua terbaik Liga Super, final Piala Malaysia dan Piala FA, selain ke pentas kalah mati kejohanan serantau (ACC dan ACL II).
“Ini bukanlah tugas yang mudah kerana pasukan lain turut melakukan persiapan pramusim dengan baik tetapi saya percaya kita ada peluang yang baik untuk mencabar kejuaraan,” katanya.
Bagaimanapun, Tunku Ismail tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan meminta Johan Kamal supaya tidak memperbodohkan penyokong sendiri.
“CEO Selangor FC Johan cakap jurang antara JDT dan Selangor semakin mengecil?
“Pada 2023, beza (JDT dan Selangor) 15 mata dalam liga. Pada 2024/25, beza 18 mata.
“Pada 2022, Selangor kalah 5-1, seri 1-1, kalah 2-1 final Piala Malaysia. Kemudian 2023 pula kalah 4-0, 4-0 dan 2-0.
“Pada 2024-25, kalah 3-0 di tempat sendiri dan 6-1, result terbesar dalam sejarah Final Piala FA.
“So, please explain to me Johan, how Selangor merapatkan jurang?
“Kalau nak tutup kegagalan sendiri pun, janganla sampai cuba bodohkan penyokong sendiri. Selangor fans deserve better,” ujar Tunku Ismail.

Untuk rekod, SFC tidak menewaskan JDT dalam 19 pertemuan terakhir. Kali terakhir mereka melakukannya adalah pada 2017.