HomeSukanTonggak Adelaide, Zac Clough Disambar Gergasi Liga Malaysia

Tonggak Adelaide, Zac Clough Disambar Gergasi Liga Malaysia

Tonggak tengah Adelaide United, Zac Clough diberitakan akan menjadi rekrut terbaru Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/26 yang akan bermula tidak lama lagi.

Selangor masih belum membuat pengumuman mengenai kemasukan pemain dari England itu, tetapi berita mengenai perpindahan ini telah didedahkan oleh bekas pemain Selangor yang kini menjadi pengulas bola sepak di Australia, Robbie Cornthwaite.

“Pemain tengah Adelaide United, Zach Clough telah menandatangani kontrak bersama gergasi Liga Super Malaysia, Selangor,” ciap Cornthwaite.

Perkembangan ini pastinya menyuntik keterujaan dalam kalangan penyokong Selangor, terutamanya selepas kehilangan khidmat pemain tengah kreatif dari Venezuela, Yohandry Orozco pada akhir musim lalu.

Clough hadir dengan pakej pengalaman luas, kreativiti, dan sentuhan teknikal yang diharapkan mampu memperkasakan barisan tengah Selangor ke tahap yang lebih tinggi.

Pemain berusia 30 tahun ini bukan sahaja boleh menjadi playmaker buat sang gergasi merah kuning, tetapi terkenal dengan kebijaksanaan mengawal bola, kebolehan melakukan hantaran tepat serta ketajaman menjaringkan gol — ciri-ciri yang pernah menjadikannya antara pemain muda paling menyerlah dalam Liga Bola Sepak England dan liga utama Australia.

Zac Clough memulakan kerjayanya bersama Bolton Wanderers dan pantas mencuri perhatian sebagai salah seorang bakat muda paling menarik di England.

Clough menjaringkan 21 gol dalam 68 penampilan bersama Bolton dan turut beraksi untuk Nottingham Forest serta Wigan Athletic.

Walaupun kecederaan pernah menjejaskan perjalanan kariernya, Clough kekal sebagai pemain tengah menyerang yang dinamik dan mempunyai naluri semula jadi untuk memecah benteng lawan.

Di Adelaide United, Clough kembali menemui rentaknya dan menjadi tunjang utama dalam jentera serangan pasukan. Visi serta kawalannya di ruang sempit amat penting buat kelab itu, selain keupayaannya untuk turun membantu mengatur permainan turut membolehkan rakan sepasukannya menyerlah.

Musim lalu dalam saingan A-League, Clough membuat 27 penampilan dengan mencatat tujuh gol dan sembilan bantuan jaringan.

Perpindahan Clough ke Selangor jelas menunjukkan kesungguhan kelab itu untuk memburu kejuaraan serta membina momentum positif di bawah bimbingan jurulatih Katsuhito Kinoshi.

Clough dijangka akan mengisi peranan sebagai pemain tengah menyerang, beraksi di belakang penyerang utama, di mana kemampuannya melakukan hantaran menembusi benteng lawan dan mengelecek pertahanan diyakini mampu memberi kelebihan kepada Selangor di bahagian serangan.

Dia juga berpotensi untuk digunakan di posisi sayap.

Penyokong Red Giants sudah pasti tidak sabar untuk melihat sejauh mana Clough dapat menyesuaikan diri dengan tempo dan fizikaliti bola sepak Malaysia.

Namun, dengan gaya permainan teknikal serta pengalaman beraksi dalam pelbagai liga sebelum ini, keyakinan tetap tinggi bahawa Clough mampu memberikan impak serta-merta kepada pasukan.

Sumber : Star Sport

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!