Nasib pemain bolasepak wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli yang dilayangkan kad merah dan kemudiannya menunjukkan isyarat kurang sopan kepada pengadil, akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S.Sivasundaram.
“(Kes) Intan dengan Unit Undang-Undang FAM. Itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib sebab laporan pengadil ada, laporan penilai pengadil, komisioner perlawanan ada, semua laporan itu ada. Jadi akan ada mesyuarat, pengadil yang terlibat akan turut serta dalam mesyuarat, dan akan ada tindakan.
“Saya mohon kepada semua pasukan, pemain dan pegawai tolong jangan lakukan provokasi terhadap pengadil, biarkan mereka lakukan tugas mereka,” katanya.
Sebelum ini pada aksi Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 Intan Serah yang beraksi untuk Selangor FC dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang MBSJ FC.
Semuanya gara-gara insiden yang berlaku setelah wisel penamat ditiup pengadil, Nurul Ain Izzaty Zainal, di mana dia bertelagah dan cuba menyerang pemain MBSJ yang menjatuhkannya di luar kotak penalti.
Nurul Ain Izzaty kemudiannya melayangkan kad merah kepada pemain berusia 26 tahun itu, namun dia kemudian menunjukkan rasa tidak puas hati dan menunjukkan isyarat kurang sopan kepada pengadil.