HomeSukanVisi TMJ Pendorong Utama Chong Wei Terima Peranan

Visi TMJ Pendorong Utama Chong Wei Terima Peranan

Bekas jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei tidak berselindung menyatakan visi, keyakinan dan kepercayaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) adalah sebab utama beliau setuju menerima pelantikan sebagai Penasihat Badminton dan Duta Sukan Negeri Johor.

“Saya cukup berbesar hati dan berasa sangat rendah diri atas kepercayaan dan keyakinan diberikan Pemanku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, terhadap pelantikan sebagai penasihat badminton dan Duta Sukan Johor.

“Visi jelas baginda untuk membangunkan sukan Johor mendorong saya menerima peranan dan tanggungjawab besar ini,” ujar pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu.

Menandatangani MOU bersama Majlis Sukan Negeri Johor pada Jumaat, Chong Wei secara rasminya menjadi seorang lagi legenda sukan terkemuka dilantik sebagai Duta Sukan Johor selepas bekas pemain ragbi antarabangsa, Sonny Bill Williams, pada awal April.

Berita Berkaitan: “Saya Setuju Terima Kerana Visi TMJ” – Sonny Williams

Chong Wei menjelaskan beliau bukan sahaja menumpukan kepada sukan badminton, malah sedia berkongsi pengalaman sebagai atlet untuk semua bidang sukan, agar dapat memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Saya akan bekerjasama dengan MSNJ dan lihat apa yang saya boleh bantu. Saya bukan sahaja duta untuk sukan badminton sahaja, tetapi semua sukan juga. Saya akan memberi galakan kepada generasi muda khususnya ahli sukan dan berharap sukan negeri ini boleh bergerak lebih maju ke hadapan.

“Saya mahu berkongsi perjalanan karier kepada semua termasuk pengalaman ketika kalah-menang, sewaktu gagal ujian doping dan turun naik sebagai atlet sebelum ini.

“Ia ibarat ‘roller coaster’ apabila mengenangkan bagaimana saya tetap menaikkan semangat meskipun sedang jatuh,” ujar bekas pemain nombor satu dunia itu.

Pengarah MSNJ, Mohd Ekmaluddin Ishak, berkata pendekatan dibawakan dalam pelantikan Duta Sukan Johor adalah bersifat kolaborasi yang mana akan mengenal pasti sukan berpotensi tinggi untuk dibangunkan.

“Kita akan lihat pelan pembangunan sukan negeri dan prestasi semasa atlet kita, kemudian kita akan susun program bersesuaian serta bengkel latihan pembangunan.

“Kami yakin Chong Wei mempunyai motivasi bukan sahaja untuk menjadikan seorang atlet yang baik tetapi menjadi insan yang baik juga,” katanya.

Ujarnya, Chong Wei akan memainkan peranan penting dalam sesi motivasi bersama atlet muda, program kemasyarakatan dan promosi inisiatif pembangunan sukan negeri.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!