Pemain perseorangan wanita K.Letshanaa mengakui tidak terkesan meskipun menjadi sasaran kritikan terbuka Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky baru-baru ini.
Pemain di ranking ke-59 dunia itu menyatakan dia hanya mahu fokus kepada apa yang perlu dilakukan untuk terus maju, dan menjadi seorang pemain yang lebih baik.
“Saya menetapkan sasaran yang realistik dan untuk memenuhinya saya akan beri tumpuan kepada latihan. Apa perlu dilakukan dan bagaimana untuk memberikan yang terbaik untuk mencapai matlamat dan impian saya.
“Itulah apa yang ada dalam fikiran saya dan komen Rexy Mainaky tidak menjejaskan saya. Saya terima kritikan yang ditujukan dan mahu hanya fokus kepada apa yang perlu saya lakukan untuk terus maju,” ujar Letshanaa menerusi laporan Bernama.
Berita Berkaitan: Sikit-Sikit Sakit Kaki, Penat, Macam Mana Nak Maju? – Rexy
Sebelum ini, Rexy menyatakan kekecewaan terhadap pemain wanita skuad kebangsaan kerana sering memberi alasan dan mengadu keletihan semasa menjalani latihan, dengan memetik nama Letshanaa secara khusus.
“Pemain yang ada sekarang ni, suka merungut dalam latihan. Macam mana nak berjaya kalau diberi latihan asyik merungut penat, letih.
“Contohnya Letshanaa, dia ada cita-cita yang tinggi bila ditanya nak jadi seperti apa, tetapi dia tidak menjalani latihan seperti seharusnya, berlatih sikit mengadu sakit kaki dan mahukan latihan ringan.
“Letshanaa memiliki fizikal yang kuat dan perlu memperkuatkan badannya tetapi hatinya tidak kuat,” kata Rexy kepada pemberita.
Jonassen Mudah Didekati, Memahami
Ditanya pendapatnya mengenai ketua jurulatih baru perseorangan Kenneth Jonassen, Letshanaa menyatakan rasa kagum dengan legenda Denmark itu.
“Saya ada berbincang dengan coach Kenneth dan mendapat banyak input. Beliau mudah didekati, memahami serta sentiasa bersedia mendengar pandangan,” kata pemain berusia 23 tahun itu.
Sementara itu, Jonassen berkata beliau memerlukan masa untuk meningkatkan status perseorangan wanita. Tegasnya, adalah penting untuk mendapatkan input daripada semua pihak kerana pelaksanaan perubahan hanya boleh dilakukan dengan memahami terlebih dahulu isu teras.
“Saya rasa ranking tertinggi (perseorangan wanita) pada kedudukan 57 atau 59, jadi matlamat adalah untuk mempersiapkan pemain muda ini berada dalam kelompok 30 terbaik. Ini objektif jangka panjang dan inilah matlamatnya.
“Saya ada perancangan dan percaya ia boleh membantu kami ke arah itu dan harap matlamat ini dapat dicapai lebih cepat. Saya sedang berbincang dengan semua pihak berkepentingan, dan akan merangka pelan terperinci bagaimana untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Gambar ehsan: Fail Bernama