Aksi blockbuster antara JDT dan Terengganu FC di separuh akhir Piala Malaysia, menjadi tumpuan penyokong minggu ini.
Kedua-dua pasukan akan berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat (17 Februari) sebelum aksi timbal balik berlangsung pada 1 Februari depan.
Bagi Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, mereka ada permintaan khusus kepada Malaysian Football League (MFL), iaitu mahukan pengadil yang ditugaskan adalah pengadil berwibawa dan tidak berat sebelah.
Menurut Presiden mereka Mohd Isa Che Ariffin, perlawanan berintensiti tinggi ini memerlukan pengadil bebas kontroversi agar dalam masa sama sebarang keputusan meragukan tidak membuatkan penyokong ‘naik minyak’.
“Pengadil yang diberikan amanah itu pula mestilah telus dengan tidak menyebelahi mana-mana pasukan bagi memastikan peminat dapat menyaksikan perlawanan yang menarik dan bermutu tinggi terutama saingan piala paling berprestij itu.
“Buat penyokong kedua-dua pasukan, usah ikut emosi atau timbulkan provokasi. Sebaliknya sokonglah pasukan kesayangan dengan semangat kesukanan yang tinggi serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Buat pemain pula, pamerkan semangat kesukanan yang tinggi dengan bermain demi lencana di dada biarpun bakal berdepan dengan laluan getir,” kata Mohd Isa dipetik dari BH Sukan.
Untuk makluman, ketika JDT dan TFC bertemu dalam Liga Super pada Julai tahun lalu, Mohd Isa meluahkan kekecewaan terhadap pengadil Fitri Maskon kerana membuat beberapa keputusan kontroversi antaranya menghadiahkan penalti mudah kepada JDT, melayangkan kad merah tak sepatutnya kepada Ubaidullah Shamsul, malah tiada tindakan ke atas pemain JDT yang mengasari Ismael Akinade.
Ia sekaligus menyaksikan TFC tewas dengan jaringan 4-0. Justeru beliau tidak mahu insiden kontroversi sama tidak berulang.
Keselamatan Diperketatkan
Sementara itu, seramai 400 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata perkara itu bagi memastikan kelancaran trafik sekitar stadium serta perjalanan perlawanan yang dijangka dihadiri puluhan ribu penonton.
Tambahnya, polis akan menjalankan pemeriksaan ketat di pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa barang-barang atau peralatan berbahaya, selain pemeriksaan badan dan beg oleh petugas, sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium.
“Penonton tidak dibenarkan membawa masuk barang larangan seperti mercun, suar, topi keledar, botol air, pemetik api, sebarang objek dan senjata tajam seperti besi, pisau, tongkat dan sebagainya dan larangan ini termasuk alatan pembesar suara dan peniup yang mengeluarkan bunyi bising,” katanya.
Azli turut mengingatkan supaya orang ramai tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan di laluan pintu utama (grand stand) SSMZA.
“Sebarang bentuk perarakan atau perhimpunan sebelum, semasa atau selepas perlawanan juga tidak dibenarkan bagi mengelak insiden pergaduhan atau provokasi.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan kekecohan. Datanglah memberi sokongan kepada pasukan masing-masing dengan cara berhemah dan penuh semangat kesukanan,” katanya lagi.