Kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, pada 9 April lalu di Putrajaya, berkemungkinan besar adalah rancangan yang dibuat wanita itu sendiri.
Elemen itu adalah antara intipati yang turut diambil kira pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata beliau tidak menolak kemungkinan faktor itu, namun pada masa ini konteks itu masih berada dalam peringkat awal siasatan.
“Kita tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini, namun ia turut diambil kira dalam elemen siasatan kita.Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati mangsa mengikut arahan suspek yang melarikannya tanpa berlaku sebarang pergelutan dan situasi pergerakan penculikan berjalan lancar.
“Pada masa ini, kita menyiasat dari semua aspek sama ada kes ini benar-benar satu penculikan atau sesuatu yang dirancang oleh mangsa sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Khamis.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kehilangan Datin Sri Pamela, yang hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penggubahan wang haram.
Berikut adalah butiran kronologi kehilangan Datin Sri Pamela:
9 April 2025 (Selasa)
1.29 tengah hari, Pamela memulakan perjalanan dari Jalan Cheras menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab menuju ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
1:52 tengah hari: Lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX, berdekatan Pusat Bandar Putra Permai.
1:57 tengah hari: Pamela menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya, memaklumkan beliau sedang dalam perjalanan dan dijangka tiba di SPRM pada jam 2:08 petang.
Selepas 2 petang: Panggilan dan mesej daripada keluarga serta peguamnya tidak mendapat maklum balas. Mesej WhatsApp tidak dihantar, dan panggilan tidak dijawab.
3:02 petang: Peguam Pamela membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, mengenai kehilangan beliau.
10 April 2025
Peguam Pamela membuat laporan polis kedua di Balai Polis Seri Kembangan.
2 Mei 2025
Keluarga Pamela mengeluarkan kenyataan media, memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai keberadaan beliau. Mereka menyatakan bahawa kereta Grab yang dinaiki Pamela telah dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenali, dan beliau diarahkan masuk ke salah satu dari kereta berkenaan.
3 Mei 2025
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan penculikan atau melarikan orang dengan niat untuk mengurung secara salah. Beberapa saksi, termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa, telah dirakamkan kenyataan mereka.
4 Mei 2025
Tiada perkembangan baharu dilaporkan. Pamela masih belum ditemui, dan usaha pencarian diteruskan. Polis sudah merakam keterangan 12 individu setakat tarikh ini dan memaklumkan semakan sudah dibuat dengan pihak Jabatan Imigresen berhubung rekod keluar masuk Pamela Ling di negara ini. Selain itu, polis mengesahkan tiada tuntutan wang tebusan diterima.
Maklumat Tambahan:
Pamela, 42 tahun, adalah isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu. Mereka sedang dalam proses perceraian yang rumit di Malaysia dan Singapura, membabitkan harta bernilai tinggi.
Menurut peguamnya, Datuk N Sivananthan, Pamela dan suaminya sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram.
Keluarga Pamela meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi bapanya, Ling Kie Yii di 012-8867979 atau abangnya, Simon Ling Wan Siong di 012-8866799.