Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali, mengelak bercakap dengan wartawan dan terus meninggalkan perkarangan mahkamah selepas selesai prosiding berhubung tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Khamis.
Pada perbicaraan itu, penghakiman memihak kepada bekas isteri Safee yang berasal dari Indonesia, Fitria Elfina Maharip.
Fitria mendapat hak penjagaan penuh dua anaknya, Shanika Salsabilah dan Shania Safina berkuatkuasa serta-merta setelah dia sebagai plaintif dan Safee Sali, bersetuju dengan segala terma dan isi kandungan tuntutan hadanah itu.
Keputusan itu dikeluarkan Hakim Syarie Salehan Yatim yang berharap tiada lagi konflik timbul antara kedua-dua pihak selepas ini.
“Tahniah berjaya membuat perjanjian mengenai hak penjagaan anak dan berharap kedua-dua pihak dapat melaksanakan semua yang dijangkakan. Harap tiada konflik baru. Jika ada perkara mendesak, baru datang kembali ke mahkamah,” jelasnya.
Peguam Syarie Putri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili Fitria Elfina, memaklumkan pihaknya telah bertemu dengan barisan peguam mewakili Safee Sali beberapa kali pada bulan Mac lalu bagi membincangkan terma serta syarat dalam tuntutan hadanah itu.
Bagaimanapun, beliu ketika ditemui selepas prosiding itu enggan menyatakan secara lanjut berkaitan terma hadanah yang dipersetujui kedua-dua pihak sambil menekankan bahawa kes tuntutan hadanah ini bukanlah menentukan siapa kalah atau menang.
“Kedua-dua pihak berjaya menyelesaikan isu dengan baik tanpa sebarang perkara berbangkit. Kita tak boleh untuk dedahkan apa terma yang dipersetujui itu.
“Hak jagaan anak kepada ibu dan hak lawatan kepada Safee. Sekarang anak di bawah jagaan dengan ibu. Ada terma hak lawatan mengikut terma dan masa sesuai dengan defendan(Safee).
“Isu hadanah bukan ada siapa menang atau kalah kerana siapa dapat hak jagaan anak dan satu lagi pasti akan dapat hak lawatan. Anak ini adalah amanah sekali gus kedua-dua perlu bertanggungjawab,” katanya.