Pasukan baru ditubuhkan, Kelantan Red Warrior (KRWFC) mengumumkan pelantikan Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih mereka.
“Pelantikan ini dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keperluan pasukan dan visi yang ingin dicapai. Irfan Bakti adalah jurulatih berpengalaman lebih dari 30 tahun dan namanya tidak asing dalam arena bolasepak tempatan.
“Beliau akan bertanggungjawab mengemudi pasukan utama serta menerapkan falsafah permainan yang sejajar dengan identiti KRWFC.
“Pihak pengurusan ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Irfan Bakti serta menyeru semua penyokong untuk terus memberikan sokongan padu dalam usaha mencapai kejayaan bersama,” menurut kenyataan oleh Presiden kelab, Nik Hafiz Naim Nik Hassan.
Baca Juga: Kelantan Red Warrior Diminta Ikut Prosesur Betul
Sebagai rekod, Irfan Bakti yang berusia 74 tahun membuat keputusan berehat seketika dari arena kejurulatihan selepas kali terakhir membimbing Kuching City pada 2023.
Pengalaman beliau bukan calang-calang, di pentas domestik beliau turut pernah membimbing Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka, Perlis, Terengganu, Selangor, Felda United.
Irfan juga merupakan jurulatih terakhir menghadiahkan trofi buat Terengganu FC dengan membawa mereka menjulang Piala FA 2011 dengan menewaskan Kelantan The Red Warriors.
Selain itu, beliau pernah berkelana ke Indonesia, membimbing pasukan Persipura Jayapura pada 2007.
Di sebalik berpengalaman luas, ini kali pertama sebenarnya Irfan Bakti membimbing pasukan dari tempat asal beliau, atau lebih tepat tempat di mana beliau dibesarkan, Kelantan sebagai ketua jurulatih.
Pada 1990 dan 1993, beliau pernah bertindak sebagai penolong jurulatih skuad semi-pro Kelantan.
Walaupun bukan modern-day coach, kehadiran Irfan Bakti pastinya satu suntikan terbaik buat KRWFC yang kini dalam usaha mendapatkan slot bermain di Liga A1 Semi-pro.