Tan Sri Vincent Tan membuat u-turn apabila menarik balik tawaran untuk pemain sayap JDT dan Harimau Malaya, Arif Aiman menyertai kelab miliknya Cardiff City FC dan KV Kortrijk.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas memikirkan semasak-masaknya dari semua aspek demi kepentingan semua pihak.
Menurutnya, ia juga dipengaruhi faktor pengalaman buruk bintang muda, Luqman Hakim Shamsudin selepas mengikat kontrak lima tahun bersama Kortrijk di liga utama Belgium sehingga terpaksa dipinjamkan ke beberapa kelab lain.
Baca Juga: Kalau Tak Bagus, Tiada Kelab Akan Tergilakan Arif Aiman
“Luqman menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar negara hingga gagal mencapai potensi sebenar walaupun satu ketika dia pemain berbakat besar di zaman remaja.
“Saya seboleh-bolehnya mahu membantu bola sepak Malaysia terutama menerusi kelab saya, tapi pada masa sama saya tidak mahu pisang berbuah dua kali terhadap Arif Aiman,” katanya dilaporkan Arena Metro.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad itu sedia menawarkan tempat untuk Arif Aiman Hanapi beraksi di salah satu daripada dua kelab terbabit jika dilepaskan Harimau Selatan.
Mengulas lanjut, Vincent berkata, meskipun menyedari status kedua-dua pemain itu berbeza, beliau berpendapat seeloknya Arif Aiman kekal di JDT buat masa ini.
Pada usia 22 tahun, bintang kelahiran Pahang itu adalah Pemain Paling Bernilai (MPV) di Liga Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.
Dia juga cemerlang di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit musim ini apabila meledak empat gol dan menjadi bualan di penyokong beberapa kelab luar negara termasuk dari Iran dan Scotland.
Nasib Luqman pula berbeza apabila kini beraksi secara pinjaman di kelab liga bawahan Jepun, Yscc Yokohama manakala pada 2023 dipinjamkan ke kelab Iceland, FC Njardvik selepas gagal menembusi skuad utama Kortrijk.
Situasi itu merugikan pemain berusia 22 tahun berkenaan sedangkan dia pernah dilabel sebagai antara pemain berbakat dunia pada 2019.