HomeSukan"Peluang Masih Ada, Dalam Bola Macam-Macam Boleh Jadi" - Safwan

“Peluang Masih Ada, Dalam Bola Macam-Macam Boleh Jadi” – Safwan

Peluang Terengganu FC melangkah ke final Piala Malaysia, boleh dikatakan hampir pasti sudah tertutup. Mana tidaknya, bukan satu, bukan dua, tetapi lima gol perlu dicari dalam aksi timbal balik menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu ini.

Tetapi itu tidak menjadi alasan buat pemain Terengganu, Safwan Mazlan untuk berputus asa, malah dia menyifatkan selagi ada baki 90 minit, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

“Memang atas kertas nampak mustahil, mereka ada kelebihan besar dan bermain di tempat sendiri serta tidak pernah kalah. Tetapi peluang masih ada, dalam sukan bola sepak ini macam-macam boleh terjadi. Kami percaya pada jurulatih dan mengharapkan strategi menjadi nanti,” ujar pemain berusia 23 tahun itu.

Ketika aksi separuh akhir pertama di Gong Badak, JDT mencatat kemenangan 4-0 dengan Arif Aiman meledak dua gol, manakala Romel Morales dan Bergson da Silva menyumbang satu gol masing-masing.

Berita Berkaitan: Badrul Afzan Akui Sukar Untuk TFC Buat Comeback

Kedua-dua pasukan kemudian bertemu sekali lagi minggu lalu dalam aksi Liga Super, juga di Gong Badak, menyaksikan Harimau Selatan melakar kemenangan 1-0 menerusi jaringan Juan Muniz.

Berdasarkan rekod pertemuan, JDT menang kesemua 11 perlawanan terakhir dengan rekod jaringan 27-5. Kali terakhir Terengganu berjaya menewaskan JDT adalah dalam aksi Liga Super 2021, 1-0 menerusi jaringan Hakimi Abdullah.

Justeru, ia pastinya menjadi tugas yang cukup sukar buat barisan pemain Badrul Afzan Razali melakar kejutan, apatah lagi JDT bimbingan Hector Bidoglio baru sahaja mencipta rekod baru tidak tewas 29 perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!