Harimau Malaya tidak boleh lari daripada mengguna pakai khidmat pemain warisan, ataupun naturalisasi, dan kehadiran mereka perlu dipandang dari perspektif positif.
Demikian pandangan disuarakan bekas jurulatih Selangor, Nidzam Jamil yang mengakui ia langkah penting demi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat ia akan merencatkan peluang bagi pemain-pemain tempatan untuk memenangi kepercayaan Peter Cklamovski.
Baginya, pemain-pemain perlu menunjukkan kekuatan mental untuk menyaingi pemain warisan ataupun naturalisasi, lantas membuktikan mereka juga wajar mendapat tempat dan peluang menyarung jersi negara.
“Kita tak boleh lari daripada isu naturalisasi sebab banyak negara .dalam dunia (dah guna kaedah sama). Saya suka tentang bakat tempatan, tapi ia satu cabaran namun bukan mengenai pemain sahaja…tapi cabaran kepada jurulatih juga.
“Sebab bakat ini dah terbuka, pemain warisan dan naturalisasi ini mereka ada hak secara undang-undang untuk mewakili Malaysia. Saya rasa ini satu cabaran buat semua pihak untuk mewujudkan persiapan lebih baik.
“Tapi kalau pemain tempatan kita buang (mengaku kalah) begitu saja, ia menunjukkan mental kita tak cukup kuat untuk bersaing.
“Saya harap dengan penambahan naturalisasi dan warisan ini, akan bagi ‘feedback’ yang bagus untuk pemain muda melonjak naik, pengurusan meningkat naik dan liga kita lebih teratur,” katanya kepada media.
Nidzam ditemui pada pelancaran buku ‘Bola Mental’ karangan bekas pemain, Rosli Hussein di Universiti Malaya pada Selasa.
Baca Juga: Revolusi Usah Fokus Kepada Naturalisasi Sahaja
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, memaklumkan bahawa proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir.
Malah, beliau juga mendedahkan tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac, dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya.
“Walau bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
“Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan untuk pasukan kebangsaan.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” ujarnya.