HomeSukanAmorim Lebih Rela Turunkan Jurulatih Goalie Berbanding Rashford

Amorim Lebih Rela Turunkan Jurulatih Goalie Berbanding Rashford

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tanpa berselindung menyatakan dia lebih rela menurunkan jurulatih penjaga gol kelab itu berusia 63 tahun berbanding Marcus Rashford.

Pemain antarabangsa England, Rashford tidak beraksi untuk United sejak 12 Disember lalu dan sekali lagi diketepikan daripada skuad ketika menang 1-0 di Fulham awal pagi tadi.

Ketika United bergelut untuk menang menentang Fulham, Amorim menegaskan jurulatih penjaga gol Jorge Vital pasti menjadi pilihan yang lebih baik.

Baca Juga : “Kritikan Bukan Tuju Kepada Pemain, Tetapi Diri Sendiri” – Amorim

“Hari ini di bangku simpanan kami kekurangan kelajuan untuk mengubah permainan tetapi saya lebih suka jika ia sebegini, saya akan membawa masuk Vital sebelum saya menyenaraikan pemain yang tidak memberikan maksimum setiap hari, jadi saya tidak akan mengubah di posisi itu,” kata Amorim.

Amorim menambah: “Ia sering kali alasan yang sama kenapa Rashford tidak beraksi. Alasannya adalah latihan, apa yang saya fikir seorang pemain bola sepak patut lakukan dalam latihan, dalam kehidupan dan setiap hari. Jika perkara itu tidak berubah, saya tidak akan mengubahnya.

“Ia situasi sama buat setiap pemain. Jika anda memberikan yang maksimum dan perkara yang betul maka kami boleh menggunakan setiap pemain.”

Di sebalik ketegangan hubungan antara kelab dan pemain, Rashford yang berusia 27 tahun tetap memuji rakan sepasukannya melalui media sosial selepas kemenangan 1-0 mereka.

“Tahniah kerana menang rakan-rakanku,” tulisnya di laman Instagram.

Gol United di Craven Cottage hadir pada minit ke-78 menerusi pemain pertahanan Lisandro Martinez apabila rembatan jarak jauhnya membias sebelum melambung melepasi jangkauan penjaga gol Fulham, Bernd Leno. – AFP

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!