Jose Mourinho, sang “Special One”, bukan sekadar seorang taktikal genius dan seringkali mencuri tumpuan dengan retorik pedas terhadap pasukan lawan.
Beliau juga simbol ‘kegilaan’ dan kreativiti tanpa batas – sepanjang kariernya di kelab seperti Chelsea, Real Madrid, dan Inter Milan, Mourinho mencipta pelbagai momen unik dan hebat menjadikannya antara pengurus terbaik dunia.
Tetapi berapa ramai tahu, ataupun masih ingat kejadian Jose Mourinho menyorok di dalam bakul dobi untuk berjumpa dengan pemainnya memandangkan ketika itu dia digantung perlawanan oleh UEFA.
Insiden pelik itu, didedahkan oleh pengurus dari Portugal itu sendiri – menurut Jose Mourinho, salah satu kejadian semasa pengurusannya di Chelsea adalah bagaimana dia terpaksa menyorok di dalam bakul dobi menerusi bantuan kitman.
Dia terpaksa memikirkan idea itu untuk bercakap dengan pemainnya setelah dikenakan kad merah dan digantung dua perlawanan menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich pada 2005.
Baca Juga: Dua Kali Tergelincir, Takkanlah Cucurella Tak Warm-Up Dulu
Mourinho menerima hukuman itu gara-gara mengkritik pengadil Anders Frisk ketika pertembungan menentang Barcelona di pusingan kedua Liga Juara Eropah.
“Saya masuk ke bilik persalinan di waktu siang, maksudnya saya sudah berada di situ dari tengah hari, perlawanan adalah pada jam 7 petang. Perancangan saya adalah ketika pemain sampai nanti saya sudah sedia ada dalam bilik persalinan.
“Jadi ketika saya masuk, tiada siapa melihat saya. Masalahnya adalah bagaimana nak keluar, dan waktu itu Stewart Bannister (kitman) mencadangkan saya masuk ke dalam bakul dobi. Ia sedikit terbuka, jadi saya boleh bernafas.
“Tetapi apabila dia membawa bakul itu keluar dari bilik persalinan, boleh pula pegawai dari UEFA ikut sekali, begitu terdesak nak cari saya di mana, menyebabkan Bannister terpaksa tutup bakul untuk lindungi saya dan saya tidak dapat bernafas.
“Apabila dia buka semula bakul, saya dah lemas, dah nazak hampir mati di dalamnya. Saya claustrophobic (takut berada di dalam tempat yang tertutup/sempit). Betul, saya tak tipu,” dedah Mourinho mengenai kejadian tersebut.
Perlawanan first leg di Stamford Bridge itu dimenangi Chelsea dengan keputusan 4-2 dan mereka mara ke separuh akhir dengan agregat 6-5, sebelum disingkirkan oleh Liverpool.
Kejadian ‘bakul dobi’ tersebut pada hakikatnya pernah dilaporkan media antarabangsa pada 2007 malah Chelsea sendiri pernah mengeluarkan kenyataan penafian mengenainya.
Chelsea menyatakan laporan tersebut hanyalah bertujuan mahu merosakkan reputasi dan memperlekehkan pasukan mereka, namun akhirnya selepas berbelas tahun, pengakuan Mourinho membuktikan ia kejadian yang benar-benar berlaku.