HomeSukanLiga Malaysia: Hanya 4 Aduan Sahaja Diterima FAM

Liga Malaysia: Hanya 4 Aduan Sahaja Diterima FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal dengan tanggapan bahawa kualiti dan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2024/25 berada di tahap cukup cemerlang, walaupun kritikan demi kritikan disuarakan penyokong bolasepak tanah air.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, ini berdasarkan kepada jumlah aduan bertulis yang diterima badan induk itu yang tersangatlah rendah.

“Keberadaan pengadil dengan tahap pemahaman Undang-undang Permainan yang baik serta tahap kecergasan yang tinggi dengan dibantu oleh ‘Video Bantuan Pengadil’ (VAR) sudah membuktikan kecemerlangannya.

“Setakat ini, FAM hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan (kira-kira 2.5 peratus). Pengadil-pengadil FIFA dari negara ini sudah diiktiraf oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Seperti yang kita sedia maklum, Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan dan Mua’zi Zainai Abidin pernah bertugas di Piala Asia dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Nazmi juga adalah salah seorang calon pengadil Piala Dunia 2026.

“FAM juga memiliki sekumpulan pengadil muda dan berpotensi yang dididik menerusi Projek Akademi Pengadil Profesional,” kata Sivasundaram.

Mengulas lanjut, Sivasundaram berkata, perkembangan dan kemajuan Liga-M amat bergantung kepada keberadaan kedudukan kewangan yang kukuh dan pengurusan pasukan yang terancang dan profesional.

“FAM akan sentiasa peka dan terbuka dengan semua idea yang membina sepertimana yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan terbaharunya itu,” katanya.

Baru-baru ini, Tunku Ismail menyatakan pandangan baginda mahu melihat sebuah badan pengadil yang bebas dan bukan di bawah badan memayungi sukan nombor satu negara itu.

“FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail. FAM menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka,” katanya.

Sivasundaram juga mengulas cadangan Tunku Mahkota Ismail supaya pasukan atau kelab yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk melantik atau membayar pengadil luar negara bagi mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri.

 “FAM atau MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara. Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (USD),” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!