HomeSukanTiga Pemain Veteran La Liga Bakal Sertai JDT

Tiga Pemain Veteran La Liga Bakal Sertai JDT

Kelab gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) memperkasakan kempen Asian Champions League Elite (ACLE) mereka dengan menandatangani tiga pemain veteran La Liga berusia 35 tahun.

Menurut laporan media Sepanyol, tiga pemain itu – Jonathan Viera, Roque Mesa dan Alvaro Gonzalez sudahpun terbang ke Malaysia pada Sabtu.

“Mereka akan menyertai beberapa bekas pemain La Liga, termasuk Jese Rodriguez di JDT,” menurut portal tempatan Sepanyol Relevo, merujuk kepada bekas pemain Real Madrid yang ditandatangani pada Oktober tahun lalu.

Baca Juga: “Saya Rasa Tertipu, Dilayan Seperti Patung” – Jese Rodriguez

Menurut portal Relevo itu, kehadiran trio itu hanya untuk memperkuatkan skuad Harimau Selatan di pentas ACLE, dan mereka tidak akan bermain dalam saingan Liga Malaysia.

Untuk rekod, Viera pernah bermain dengan Valencia, namun mencipta nama bersama Las Palmas dan pada tahun lalu mengharungi karier singkat bersama Almeria.

Manakala Roque Mesa pula merupakan ejen bebas, pernah beraksi dengan kelab-kelab seperti Las Palmas, Tenerife, Sevilla, Valladolid, dan kelab terakhir diwakilinya adalah Sporting Gijon.

Sementara Alvaro Gonzalez pula, juga merupakan ejen bebas, yang pernah bermain dengan kelab antaranya Racing Santander, Zaragoza, Espanyol, Villarreal , Marseille, Al Nassr dan kelab terakhir diwakilinya adalah Al Qadsiah.

JDT ketika ini sudahpun mempunyai beberapa pemain dari Sepanyol dalam pasukan mereka, antaranya Jordi Amat, Christian Abad, Andoni Zubiaurre, dan Juan Muniz.

Selepas enam perlawanan, JDT berada dalam landasan yang tepat untuk meneruskan langkahan ke pusingan seterusnya dalam kempen ACLE. Mereka ketika ini menduduki tangga keenam dengan lapan mata, ketinggalan di belakang Yokohama F.Marinos (13), Gwangju (13), Vissel Kobe (13), Kawasaki Frontale (12) dan Pohang Steelers (9).

Masih ada dua perlawanan berbaki untuk anak buah Hector Bidoglio, menentang Central Coast Mariner di Australia pada 11 Februari serta Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Februari.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!